Sut perkahwinan jadi 'papan iklan', lelaki Perancis raih tajaan RM11,500

Sut perkahwinan jadi 'papan iklan', lelaki Perancis raih tajaan RM11,500

Paris: Lelaki di Perancis yang menjual slot iklan pada sut perkahwinannya berjaya memperoleh tajaan daripada 26 syarikat dengan keuntungan keseluruhan sebanyak 2,300 euro (kira-kira RM11,500).

Memetik laporan South China Morning Post, lelaki itu menjadi tular di Internet selepas menyiarkan video mengenai pakaian perkahwinan uniknya di media sosial.

Usahawan, Dagobert Renouf ialah pengasas sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) yang berpangkalan di Lille, sebuah bandar di utara Perancis.

Pada pertengahan Julai, dia mengumumkan di media sosial akan menjual ruang iklan pada sut perkahwinannya bagi mengumpul wang untuk membiayai majlis berkenaan.

Bahagian berlainan pada sut itu dijual pada harga berbeza yang mana bahagian atas di belakangnya berharga 1,600 euro (kira-kira RM8,000) manakala bahagian lain dijual antara 800 hingga 1,000 euro (kira-kira RM4,000 hingga RM5,000).

Dalam tempoh beberapa minggu, Renouf berjaya mengumpul 10,000 euro (kira-kira RM50,000) hasil tajaan daripada 26 syarikat pemula.

Pada majlis perkahwinannya yang berlangsung pada 25 Oktober, Renouf mengenakan sut tajaan itu yang menyerupai papan iklan dengan logo syarikat penaja manakala isterinya berpakaian gaun satin putih.

“Terima kasih kepada 26 syarikat pemula yang membantu kami membiayai perkahwinan kami. Ia benar-benar hari yang indah,” kata Renouf dalam hantaran di media sosial.

Katanya, selepas membayar 2,500 euro (kira-kira RM12,500) untuk cukai dan menolak kos ubah suai sut berkenaan, dia memperoleh keuntungan bersih 2,300 euro (kira-kira RM11,500).

“Kebanyakan penaja ialah rakan yang menyokong saya dan membayar purata sekitar 300 euro (kira-kira RM1,500) bagi setiap slot.

“Saya tidak dapat meyakinkan individu berkemampuan kerana mereka menganggap idea ini terlalu gila.

“Sekarang, setelah terbukti berkesan, saya boleh menjual slot yang sama pada harga 10 kali ganda lebih tinggi tetapi bukannya saya akan berkahwin lagi,” seloroh Renouf.

Selepas kisah perkahwinannya tular, satu hantaran di media sosial menerima 41,000 tanda suka dalam tempoh hanya 37 minit dengan pengguna internet terpegun dengan idea itu namun memberikan reaksi yang bercampur-baur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top