Anak pensyarah, penjaja terima Anugerah Pelajaran Diraja

Anak pensyarah, penjaja terima Anugerah Pelajaran Diraja

am@hmetro.com.my

Kuantan: Anak pensyarah dan penjaja makanan diumum sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Kali ke-20 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang akan berlangsung di Dewan Kompleks Sukan UMPSA Gambang, di sini, hari ini.

Dua graduan universiti itu ialah Khairul Imran Khalip, 26, dari Bandar Baru Bangi, Selangor dan Ik Shim Eh Fhot, 24, dari Kuantan bakal menerima anugerah berkenaan daripada Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dr Abi Musa Asa’ri Mohamed Nor.

Khairul Imran yang juga anak kepada pensyarah berkata, dia tidak pernah mengimpikan akan menerima anugerah berkenaan dan menganggapnya rezeki atas kesungguhan dan sokongan daripada semua termasuk keluarga.

“Saya tidak pernah menduga akan menerima Anugerah Pelajaran Diraja ini tetapi teruja apabila diumumkan sebagai penerima anugerah tertinggi ini.

“Saya juga tidak pernah terfikir tetapi ini adalah rezeki dan saya teruja menerimanya. Alhamdulillah di atas kerjasama dan dorongan yang diberikan,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Khairul Imran, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Analitik Data dengan kepujian Pusat Sains Matematik ditemui selepas sidang media Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 oleh Naib Canselor UMPSA, Prof Dr Yatimah Alias.

Ik Shim, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Siber) dengan kepujian Fakulti Komputeran tidak menyangka diumumkan sebagai penerima anugerah itu.

“Anugerah ini saya dedikasikan buat mendiang ibu (Sam Tjin Ik) yang meninggal dunia pada Februari tahun lalu, kerana banyak memberikan sokongan.

“Biarpun ibu tidak dapat melihat kejayaan ini, saya gembira kerana masih ada ayah (Eh Fhot Cha Jak, 55) dan adik beradik sepanjang pengajian,” katanya yang juga anak kepada penjaja.

Sementara itu, Dr Yatimah berkata, UMPSA bakal meraikan 4,259 graduan pada Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 243 graduan pascasiswazah termasuk 94 doktor falsafah (PhD) dan 149 sarjana, 2,900 graduan prasiswazah meliputi 2,096 sarjana muda, 97 ijazah dual, enam sarjana muda separuh masa, 701 diploma serta 1,116 graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced bakal diraikan.

“Daripada jumlah keseluruhan, 78 penerima adalah graduan antarabangsa dari 16 negara termasuk Bangladesh, China, Yemen, Libya, Indonesia dan lain-lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top