am@hmetro.com.my
Bayan Lepas: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Barat Daya, di sini, hari ini menerima dua panggilan kejadian pokok tumbang yang berlaku dalam tempoh setengah jam.
Kejadian yang berlaku selepas hujan lebat dan angin kencang itu bagaimanapun tidak membabitkan mangsa.
Pegawai Pasukan APM Daerah Barat Daya Lt M (PA) Muhamad Fitri Kamis berkata, kejadian pertama diterima pada jam 12 tengah hari di Taman Pekaka, Sungai Dua, di sini.
Katanya, sebuah kereta jenis Proton Iriz yang di parkir di tempat letak kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang.
“Pasukan APM membantu memotong batang pokok menggunakan peralatan khas sebelum mengalih dan membersih lokasi.
“Pemeriksaan mendapati tiada mangsa dalam kereta berkenaan dan pemilik kenderaan yang tinggal di perumahan berhampiran turut dimaklumkan mengenai kejadian.
“Operasi berkenaan turut membabitkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan PDRM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut Muhamad Fitri berkata, panggilan kedua diterima APM Barat Daya pada jam 12.36 tengah hari membabitkan pokok tumbang menghempap bumbung dua rumah di Halaman Mayang, Bukit Gedung di sini.
“Batang pokok itu dianggarkan berukuran diameter 50 sentimeter dan dipotong menggunakan peralatan khas.
“Operasi itu membabitkan seramai 10 anggota termasuk seorang pegawai,” katanya lagi.
Difahamkan ketika kejadian, kesemua penghuni yang berada di rumah berkenaan keluar menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi kuat menghempap bumbung rumah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




