'Kalau menang dulu, mungkin saya 'demand' bayaran' – Syazwan Zulkifly

'Kalau menang dulu, mungkin saya 'demand' bayaran' – Syazwan Zulkifly

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Syazwan Zulkifly menafikan mulai ‘demand’ dari segi bayaran selepas menang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (watak Jaki) menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34, baru-baru ini.

Syazwan berkata, dia tidak pernah terfikir untuk menaikkan bayaran kerana menyerahkan sepenuhnya kepada pihak produksi.

“Saya harap tidak ada perubahan daripada cara bekerja selepas menang anugerah kerana saya masih orang yang sama.

“Kalau mereka (produksi) nak tambah bayaran, mereka akan cakap sendiri dengan saya, tapi kalau tidak, saya okay saja.

“Nasib baik, saya menang anugerah sekarang. Kalau menang awal-awal dulu, mungkin saya sudah ‘demand’ bayaran,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem dan lagu Tanda Kasih, runut bunyi (OST) filem Penghukum: Nusantara Assassin, di sini.

Syazwan yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan berkata, setiap watak diberikan adalah tanggungjawab yang perlu dilakukan dengan penuh komitmen.

“Saya memang serius dengan kerjaya sebab ini saja kerja yang saya buat. Saya juga percaya kalau tak buat bagus hari ni, nanti orang sudah tak nak tengok kita.

“Jadi setiap kali di set penggambaran, saya akan cuba beri yang terbaik dan tidak pernah kerja sambil lewa,” katanya.

Pada masa sama, kata Syazwan, dia tidak pernah tamak mengejar tawaran kerana lebih mengutamakan kualiti dan keseimbangan dalam kerjaya serta keluarga.

Katanya, dia pernah berehat seketika dari bidang lakonan selepas pemergian arwah ibunya pada penghujung tahun lalu.

“Saya bukan jenis nak buat semua benda dalam satu masa. Waktu itu saya memang pilih untuk berhenti sekejap sebab nak beri tumpuan kepada keluarga.

“Melihat graf kerjaya saya daripada dulu sampai sekarang masih konsisten. Walaupun ada waktu senyap sekejap tapi saya tahu kenapa saya berhenti dan ia pilihan sendiri,” katanya.

Beralih perancangan dalam karier seni, Syazwan berkata, dia juga terbuka untuk meneroka peluang baharu termasuk ke peringkat antarabangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top