Sabah hilang fokus separuh masa kedua

Sabah hilang fokus separuh masa kedua

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali Sabah FC, Jean-Paul de Marigny melihat pemainnya gagal mengekalkan mentaliti pada separuh masa kedua untuk menang ke atas Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Likas, semalam.

Jelasnya, pemain seperti selesa selepas mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Ajdin Mijagic pada minit ke-13 serta tidak beraksi seperti 45 minit pertama dan itu memberi ruang kepada pelawat kembali mengatur perlawanan.

Hasilnya, Selangor FC berjaya meledak dua gol menerusi gol sendiri oleh Dane Ingham minit ke-65 dan Nooa Laine minit ke-85.

Tetapi tuan rumah boleh menarik nafas lega apabila Ajdin menjadi menjaringkan gol peribadi kedua dalam perlawanan itu pada minit ke-91 untuk mengikat kedudukan 2-2.

“Ia bukan keletihan kerana mereka mempunyai tujuh hari (masa berehat). Jadi ia adalah mentaliti. Itulah hakikatnya. Jadi apabila anda mematikan mentaliti anda (ketika sedang membina momentum), maka itulah yang berlaku,” katanya.

Namun, pengendali berusia 61 tahun itu tetap memberi pujian kepada barisan pertahanan yang memberikan persembahan cemerlang terutama mengekang pergerakan ketua pasukan Selangor FC, Faisal Halim daripada mendapatkan jaringan.

“Ya, terdapat banyak perkara positif di bahagian pertahanan terutama separuh masa pertama. Dia (Faisal) pemain yang sangat bagus, jadi dia sangat berbahaya dan kami belajar banyak perkara daripada perlawanan terakhir.

“Ini satu yang menggembirakan pasukan untuk melihat individu berkembang dan belajar dengan begitu baik. Mereka sangat bagus dalam perlawanan ini,” katanya.

Pada perkembangan sama, beliau berharap pemain dapat tingkatkan prestasi dan disiplin selain mengekalkan fokus untuk perlawanan kedua pada hujung bulan nanti sekiranya ingin mencipta kejayaan ke pentas final.

“Tidak ada ramuan ajaib (untuk menang). Setiap pemain hanya perlu kekal berdisiplin dalam struktur permainan dan pemain akan mendapat peluang mencipta sesuatu dalam perlawanan itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top