Tracie, Jazmy 'cair', filem Rangga & Cinta berjaya sentuh emosi

Tracie, Jazmy 'cair', filem Rangga & Cinta berjaya sentuh emosi

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Filem Rangga & Cinta bukan sahaja mencuri perhatian penonton, malah turut ‘mencairkan’ hati dua bintang muda, Tracie Sinidol dan Jazmy Juma apabila mereka memberi lima bintang selepas menonton naskhah romantik itu.

Tracie mengakui dia tersentuh dengan jalan cerita yang sarat dengan emosi dan dekat dengan jiwa anak muda masa kini.

“Filem ini sangat mencuit hati, banyak babak yang boleh dikaitkan dengan Gen Z terutama kisah cinta masa sekolah dan persahabatan. Lagu-lagunya pun sangat menyeronokkan,” katanya dalam nada teruja.

Katanya, babak ketika watak Cinta meluahkan perasaan kepada Rangga menjadi antara momen paling menyentuh perasaannya.

“Masa itu kawan-kawan Cinta datang beri sokongan, memang nampak nilai persahabatan sejati. Best sangat!” katanya.

Sementara itu, Jazmy pula tidak menafikan keserasian di antara pelakon utama, Leya Princy dan El Putra Sarira antara faktor utama yang membuatkan penonton dibuai perasaan.

“Saya nampak keserasian mereka luar biasa. Saya suka sebab filem ini ringan, ada elemen muzikal dan romantik yang tidak berlebihan,” katanya.

Jazmy turut berkongsi babak kegemarannya.

“Saya paling suka ketika Rangga dan Cinta main piano sambil menyanyi. Terus mengingatkan saya zaman bercinta dahulu,” kongsinya.

Kedua-dua pelakon itu ditemui pada acara ‘Watch Party’ Rangga & Cinta di TGV One Utama, di sini, Sabtu lalu.

Bertemakan ‘Back to School’, suasana majlis bertambah meriah apabila peminat dan selebriti hadir lengkap berpakaian sekolah, sekali gus mengimbau nostalgia zaman persekolahan.

Antara selebriti yang turut memeriahkan acara ialah Alvin Chong, Tony Eusoff, Shaza Bae, Norish Karman dan Manda.

Filem Rangga & Cinta kini sedang ditayangkan di semua pawagam seluruh negara.

Peminat filem tidak boleh melepaskan peluang untuk menyelami semula getaran cinta dan kenangan indah zaman remaja.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top