am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu : Sebanyak 316 syarikat di seluruh negeri memiliki sijil halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membabitkan pelbagai skim dan sektor perniagaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, daripada jumlah itu sebanyak 178 syarikat membabitkan produk makanan, premis makanan (91), pengilangan kontrak (22), barang gunaan (15), rumah sembelih (enam) dan kosmetik (empat).
“Daerah Kuala Terengganu mencatat jumlah tertinggi dengan 77 syarikat, diikuti Kemaman (63), Dungun (48), Marang (35), Kuala Nerus (35), Besut (31), Hulu Terengganu (18) dan Setiu (sembilan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Mohd Noor pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet), di sini, hari ini.
Ariffin yang juga ADUN Alur Limbat berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Bahagian Pengurusan Halal turut menyediakan bimbingan menyeluruh kepada pemohon sijil halal melalui pelaksanaan Klinik My e-Halal yang diadakan secara berkala di setiap daerah.
“Selain itu, JHEAT juga bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), RISDA, dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi membantu mempercepat dan memantapkan proses permohonan.
“Kita juga memberikan tauliah penyembelih kepada individu yang bekerja di premis penyembelihan berdaftar bagi memastikan semua proses memenuhi piawaian halal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




