Namewee dipercayai ada hubungan istimewa dengan pempengaruh Taiwan yang maut – Polis

Namewee dipercayai ada hubungan istimewa dengan pempengaruh Taiwan yang maut – Polis

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah dan penyanyi kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee dipercayai mempunyai hubungan istimewa dengan pempengaruh wanita warga Taiwan yang ditemui maut di sebuah hotel di sini, bulan lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati Namewee bersama wanita itu sejak berada di luar negara sehingga kejadian berlaku di negara ini.

“Dia (mempunyai) hubungan istimewa dengan mangsa (namun) siasatan lanjut masih diteruskan dan sehingga kini kita sudah merakam keterangan (bagi membantu siasatan),” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Deepavali Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa termasuk ujian toksikologi untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan berjalan baik dan Namewee juga memberi kerjasama sepanjang proses.

“Siasatan masih berjalan dan kita akan usahakan lagi berdasarkan bukti yang ada. Kita akan kemukakan cadangan (pertuduhan) kepada (pejabat) Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam masa terdekat (sebaik kertas siasatan dilengkapkan),” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa belum dituntut keluarganya, namun tidak dinafikan ada pihak cuba buat tuntutan dan tidak dibenarkan kerana tiada pengesahan.

Fadil meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai keluarga mangsa untuk tampil membantu pihaknya.

Semalam media melaporkan, reman lelaki berusia 42 tahun itu disambung tiga hari sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan kes kematian pempengaruh wanita berasal dari Taiwan.

‘Saya tidak akan lari’ – Namewee

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top