Penduduk terganggu bunyi bising motosikal hampir setiap hari

Penduduk terganggu bunyi bising motosikal hampir setiap hari

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sekumpulan remaja dipercayai pelajar sekolah menjadikan kawasan berhampiran Transit Aliran Massa (MRT) di Sentul sebagai ‘litar’ apabila menunggang motosikal dan membuat bising hampir setiap hari hingga mengganggu ketenteraman penduduk sejak beberapa bulan lalu.

Penduduk yang juga Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kondominium Permai Ria, Velambal Pushpalingam, 63, berkata, kegiatan itu berlaku hampir setiap hari terutama pada waktu petang dan malam, malah lebih teruk setiap Jumaat selepas waktu persekolahan.

“Lebih tiga hingga empat bulan perkara ini berlaku. Setiap kali lepas Jumaat, mereka datang ramai-ramai bawa motosikal dan buat bising dekat kawasan sini.

“Mereka sering berkumpul di kawasan kosong berhampiran bangunan MRT dan menunggang sambil menekan enjin menyebabkan bunyi bergema seperti dalam terowong,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Katanya, mereka semua dipercayai pelajar sekolah kerana memakai seragam lengkap ketika berkumpul.

“Saya sudah lama tinggal di sini, lebih 20 tahun, namun kejadian seperti ini baru berlaku sejak tiga empat bulan lalu.

“Mereka bukan penduduk sini, lepas habis main motosikal terus hilang,” katanya.

Velambal berkata, penduduk sudah beberapa kali membuat aduan dan menghubungi polis berikutan tidak tahan dengan gangguan itu, terutama pada waktu malam.

“Malam pun ada, kadang-kadang sampai satu jam, dari 9 malam hingga 10.30 malam.

“Kami tak boleh tidur sebab bunyi terlalu kuat,” katanya.

Dia berkata, aduan juga sudah dibuat kepada pihak pengurusan MRT, namun sehingga kini tiada tindakan diambil bagi mengekang masalah itu.

Katanya, pihaknya juga sudah membuat aduan kepada Ketua Biro Politik UMNO Bahagian Batu Datuk Gulam Muszaffar bagi menyelesaikan masalah ini.

“Penduduk bimbang untuk menegur sendiri kerana takut berlaku perkara tidak diingini.

“Kami harap pihak berkuasa dapat melakukan rondaan berkala,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari ketika dihubungi memaklumkan setakat semalam, pihaknya tidak menerima sebarang laporan yang dibuat oleh mana-mana pihak sama ada individu, kumpulan atau persatuan penduduk.

“Anggota balai juga diarahkan untuk membuat rondaan setiap sejam sekali di lokasi yang dinyatakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top