Penduduk penempatan haram Israel pakai topeng bakar harta benda, cedera warga Palestin

Penduduk penempatan haram Israel pakai topeng bakar harta benda, cedera warga Palestin

REUTERS

Ramallah, Tebing Barat: Sekumpulan penduduk penempatan haram Israel yang bertopeng membaling batu dan membakar lori membawa susu, kawasan pertanian serta struktur bangunan, mencederakan empat orang pada Selasa dalam kejadian terbaharu gelombang serangan oleh penduduk penempatan di wilayah Palestin yang diduduki, menurut tentera Israel dan seorang pegawai Palestin.

Tentera Israel berkata askar bergegas ke Beit Lid dan Deir Sharaf selepas puluhan penduduk Israel bertopeng menyerang penduduk Palestin dan membakar harta benda.

Empat warga Palestin dilaporkan menerima rawatan akibat kecederaan. Pasukan keselamatan kemudiannya menyuraikan konfrontasi tersebut.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata pihaknya merawat tiga individu yang dipukul dengan kayu dan batu.

Polis Israel pula memaklumkan empat suspek Israel telah ditahan untuk disoal siasat.

Pada Jumaat, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) melaporkan bahawa penduduk penempatan telah melancarkan sekurang-kurangnya 264 serangan terhadap warga Palestin pada bulan Oktober jumlah bulanan tertinggi sejak PBB mula merekodkan insiden tersebut pada tahun 2006.

Menteri Palestin, Muayyad Shaaban, yang mengetuai Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok, berkata penduduk penempatan membakar empat lori milik syarikat tenusu Junaidi, kawasan pertanian serta bilik dan khemah milik keluarga Badwi, sambil membaling batu ke arah penduduk tempatan.

Kemudian, berhampiran Zon Perindustrian Baron, di mana sebahagian daripada penduduk penempatan bertopeng itu berkumpul semula, mereka menyerang askar dan merosakkan sebuah kenderaan tentera, menurut tentera Israel.

Tebing Barat, yang menempatkan 2.7 juta penduduk Palestin, telah lama menjadi pusat rancangan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin masa depan yang hidup berdampingan dengan Israel.

Namun, kerajaan Israel yang silih berganti terus memperluas penempatan secara pesat, menyebabkan tanah di wilayah itu semakin terpecah-pecah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Palestin dan kebanyakan negara di dunia menganggap penempatan haram Israel sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa.

Israel menafikan dakwaan ini, dengan alasan ikatan sejarah berdasarkan kitab suci dan faktor keselamatan. Sekitar setengah juta penduduk penempatan Israel kini tinggal di Tebing Barat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top