am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Nazrief Nazri, 34, mendedahkan dia dimasukkan ke wad selama lima hari akibat jangkitan Influenza A, baru-baru ini.
Nazrief berkata, dia juga menganggap jangkitan Influenza A lebih teruk berbanding dijangkiti virus Covid-19.
“Saya memang jarang sakit atau ditahan di wad sebab itu apabila mendapat jangkitan influenza dari anak berusia empat tahun, keadaan saya teruk hingga terpaksa ditahan di wad selama lima hari.
“Selepas kejadian itu, saya dan seluruh ahli keluarga ambil suntikan vaksin influenza sebagai langkah untuk melindungi diri,” katanya kepada Harian Metro.
Pelakon drama Seribu Tahun itu berkata, dia yang sentiasa berjumpa dengan orang ramai sekali gus mudah terdedah pada jangkitan influenza.
“Setakat ini, saya sudah mengambil vaksin influenza sebanyak dua kali untuk melindungi diri.
“Difahamkan, kita perlu ambil vaksin itu sekali dalam tempoh setahun bagi dewasa, dan kanak-kanak pula tiga bulan sekali berturut-turut,” katanya.
Diminta mengulas segelintir pihak yang enggan mengambil vaksin influenza pula, kata Nazrief, ia terpulang pada pilihan masing-masing.
“Ada satu pemilik akaun anti vaksin yang macam serang saya di Threads dan bila saya balas komen dia dua kali terus senyap,” katanya.
Terdahulu, Nazrief menyarankan orang ramai supaya mengambil vaksin selepas ibu dan bapa saudaranya meninggal dunia akibat dijangkiti Influenza A, baru-baru ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




