RM500,000 diperlukan untuk bawa pulang Asmah dari Makkah

RM500,000 diperlukan untuk bawa pulang Asmah dari Makkah

nuratikah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira RM500,000 diperlukan bagi menampung kos membawa pulang jemaah haji Malaysia, Asmah Mansor yang masih dirawat di Saudi German Hospital di Makkah sejak 13 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, setakat ini hampir RM10,000 sumbangan sudah diterima melalui akaun khas yang dibuka di bawah Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia.

“Alhamdulillah, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan sahabat yang begitu cepat menyahut jemputan saya untuk membantunya.

“Kita sudah membuka akaun di bawah Tabung Musa’adah JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia, setakat hari ini hampir RM10,000 berjaya dikutip,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kelas Bimbingan Fardu Ain (KAFA) OKU Pekak 2025, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Asmah, 71, disahkan menghidap pneumonia dan dimasukkan ke di unit rawatan rapi (ICU) di Makkah sejak tiga bulan lalu.

Kos besar tersebut berpunca daripada keperluan penggunaan alat ventilator secara berterusan, termasuk ketika penerbangan pulang ke Malaysia, bagi memastikan pesakit kekal stabil sepanjang perjalanan.

Mohd Na’im berkata, anggaran kos keseluruhan RM500,000 itu berdasarkan maklumat doktor pakar di Arab Saudi serta pegawai perubatan Tabung Haji.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan simpati terhadap keadaan Asmah yang kini masih dalam proses pemulihan selepas keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Saya sendiri pernah bertemu dengan mak cik Asmah. Suaranya perlahan kerana masih lemah dan dia sempat berkata kepada saya, ‘Datuk, boleh tak bawa mak cik balik ke tanah air?’

“Kata-kata itu amat menyentuh hati saya dan sebab itulah saya mengajak semua pihak untuk sama-sama membantu membawa dia pulang,” katanya yang memaklumkan Asmah tetap mendapat perhatian warga kerja Tabung Haji yang menziarahinya dan memberi semangat dari semasa ke semasa walaupun jauh di negara orang.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkannya ke Tabung Musa’adah Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia menerusi akaun CIMB Islamic di 86-0221818-6, serta meletakkan ‘Hajjah Asmah Binti Mansor’ sebagai rujukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top