am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menarik diri sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.
Penarikan diri beliau disahkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memaklumkan bahawa Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk menarik diri.
Bagaimanapun, katanya tiada sebab yang jelas mengapa tindakan itu diambil Abdul Rahman selepas tiga hari diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah bagi kerusi DUN Tempasuk.
“Benar, Datuk Seri Abdul Rahman menarik diri dan tiada sebab yang jelas, beliau hanya menyatakan yang dia tidak berhasrat untuk bertanding lagi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Pada Ahad lalu, nama Ketua UMNO Tuaran yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu diumumkan antara 41 calon BN yang akan bertanding pada PRN17.
Hari ini, Bung Moktar mengumumkan tambahan empat lagi kerusi ditandingi BN bersama calon masing-masing menjelang hari penamaan calon pada Sabtu ini.
Sebelum ini, Bung Moktar menjelaskan pencalonan Abdul Rahman di Tempasuk mengambil kira kedudukannya yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal dari 2008.
Beliau berpindah ke Parlimen Sepanggar pada 2018, namun tewas di tangan calon Parti Warisan, sebelum kembali bertanding di Kota Belud pada PRU 2022, tapi tewas juga di tangan calon Warisan.
Berikutan perkembangan terbaharu itu, Bung Moktar berkata tempatnya sebagai calon BN di Tempasuk akan digantikan Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan.
Sementara itu, Abdul Rahman dalam kenyataannya di Facebook menjelaskan beliau sudah memaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai hasratnya tidak meneruskan pencalonan beliau di kerusi DUN Tempasuk.
“Saya telah memberitahu Presiden bahawa saya ingin memberi laluan kepada muka baharu dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti UMNO di DUN Tempasuk.
“Saya telah bertanding tiga kali di Parlimen Kota Belud (2013, 2018 dan 2022). Dua kali menang dan sekali kalah. Dalam ketiga-tiga pertandingan itu, UMNO tetap memenangi undi di DUN Tempasuk walaupun kalah di kerusi Parlimen.
“Saya percaya anak tempatan dari UMNO Kota Belud akan dapat menggalas tanggungjawab ini dengan cemerlang.
“Sebagai ahli parti, saya akan terus membantu parti melalui kapasiti yang lain,” katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada parti dan Ahmad Zahid kerana mengumumkan pencalonannya pada 9 November lalu.
“Begitu juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong UMNO di DUN Tempasuk atas sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




