Umisya Mazlan Sudah Berdamai Dengan Takdir, Tiada Masalah Bertemu Dengan Madu

Umisya Mazlan Sudah Berdamai Dengan Takdir, Tiada Masalah Bertemu Dengan Madu

Pempengaruh jelita Umisya Mazlan menegaskan dia sudah berdamai dengan takdir mengharungi hidup bermadu.

Terbuka untuk bertemu dengan madunya, Marissa Dania dan tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah, Umisya menyerahkan segalanya kepada Allah.

Ibu kepada tiga cahaya mata ini turut menitipkan doa agar dipermudahkan segala urusan yang mendatang.

ARTIKEL BERKAITAN: Digelar Bar*a & Tumpang Populariti Madu, Umisya Mazlan Tampil Pertahankan Diri! – “Lidah Manusia Terlalu Kejam”

“Sejujurnya, saya sudah berdamai dengan takdir. Saya boleh saja pertimbangkan untuk bertemu.

“Dari pihak saya, tiada halangan. Sebenarnya sebelum ini pun kami pernah berjumpa.

“Selebihnya, saya serahkan kepada aturan Allah. Saya memohon doa agar segala urusan kehidupan semua pihak dipermudahkan,” katanya.

Umisya ditemui XTRA pada majlis pelancaran kamera dashcam 70mai, A810s 4K Dash Cam dan M800 4K Dash Cam di 1 Utama, pada Rabu.

Jelas Umisya yang kini aktif sebagai usahawan; dia mahu terus menjalani kehidupan dengan hati yang tenang dan sudah menerima segala ketentuan Allah dengan lapang dada.

“Saya dah terima semuanya dengan reda. Apa yang berlaku bukan perkara baharu dan saya dah lalui kehidupan berpoligami yang ada giliran dan tanggungjawab masing-masing. Sekarang saya lebih tenang,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai komen negatif netizen yang mendoakan agar anak-anaknya mewarisi sifat Aslam yang memilih untuk berpoligami, Umisya tidak menafikan dia tersentuh dengan kata-kata tersebut.

“Sebagai seorang ibu, tentu saya sedih bila anak-anak turut dijadikan sasaran.

 

“Saya nak tegaskan anak-anak saya tak bersalah. Tak sepatutnya ada yang cakap mereka tak patut lahir atau mendoakan mereka mengulangi kisah sama,” katanya.

Sebelum ini, Umisya tampil menepis dakwaan kononnya dia cuba mengawal tindakan suaminya dalam hal poligami.

Dia menjelaskan tidak pernah masuk campur urusan rumah tangga suaminya dan menafikan meletakkan sebarang syarat berkaitan perkara itu.

Nama Umisya mula menjadi perhatian selepas suaminya, Aslam, berkahwin dengan Marissa di Songkhla, Thailand pada Disember 2023.

Umisya dan Aslam berkahwin pada tahun 2020 dan pernah berpisah pada September 2023 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.

Pasangan ini dikurniakan tiga anak iaitu Hud, 4 tahun, Nuh, 3 tahun dan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan.

Scroll to Top