SPRM Johor, kerajaan negeri sambut Hari Integriti & HARA 2025

SPRM Johor, kerajaan negeri sambut Hari Integriti & HARA 2025

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor dengan kerjasama Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor menganjurkan Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 di Johor Bahru, semalam.

Bertemakan `Integriti Teras Kesejahteraan Negara’, majlis itu menghimpunkan seramai 250 ketua jabatan dan penjawat awam negeri Johor dalam usaha memperkukuh nilai integriti serta meningkatkan kesedaran terhadap pencegahan rasuah di semua peringkat pentadbiran.

Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) serta penganugerahan sijil kepada enam Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Tahun 2025.

Majlis Bandaraya Pasir Gudang diraikan atas pencapaian cemerlang menerima Anugerah Perdana Menteri dan Anugerah Emas bagi Sektor Awam sebagai pengiktirafan terhadap komitmen tinggi dalam mengamalkan tadbir urus berintegriti dan berkesan.

Dalam ucapan perasmian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pemantauan Projek & Kesejahteraan Rakyat), Norliyati Md. Nor menzahirkan penghargaan terhadap usaha SPRM dalam mempertingkatkan tahap integriti dan akauntabiliti penjawat awam negeri Johor.

“Inisiatif yang dilaksanakan ini dilihat sebagai satu usaha yang amat baik. Kerajaan Negeri Johor sentiasa komited dan serius dalam membantu mana-mana agensi seperti SPRM untuk memastikan isu rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berjaya dihapuskan di negeri ini,” tegas beliau.

Majlis dimulakan dengan forum bertajuk `Integriti Teras Kepimpinan’ yang menampilkan Ustaz Mohamad Azamudin Zainal sebagai moderator bersama empat ahli panel berpengalaman iaitu Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff (INPUMA), Dr. Kartini Kamalul Ariffin (Penceramah Bebas), Dr. Mohd Hakim Hashom (Principal Consultant) dan Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat SPRM Johor, Mohd Ridzuan.

Mereka mengupas kepentingan integriti sebagai asas kepimpinan berkesan dan pembentukan organisasi yang beramanah.

Pengarah SPRM Negeri Johor, Tuan Hairuzam bin Mohmad Amin @ Hamim, menyatakan bahawa penghargaan diberikan kepada penerima anugerah adalah pemangkin kepada usaha menerapkan tadbir urus yang baik dalam setiap jabatan dan agensi.

“Anugerah seumpama ini bukan sekadar simbolik kepada komitmen dan usaha baik penerima, malah diharap menjadi motivasi dan cabaran kepada perkhidmatan awam lain di Johor untuk terus berusaha dalam agenda memerangi rasuah serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” ujarnya.

Pelantikan enam Pegawai Integriti Bertauliah ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri Johor dalam memperkukuh pengurusan tadbir urus yang baik serta meneruskan usaha pencegahan rasuah dalam pentadbiran sektor awam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top