Dua beradik bertembung di DUN Kukusan pada PRN Sabah

Dua beradik bertembung di DUN Kukusan pada PRN Sabah

am@hmetro.com.my

Tawau: Perbezaan ideologi politik tidak menghalang dua beradik, Ma’mun Sulaiman dan kakaknya, Chaya, untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN17), pada 29 November ini.

Pertembungan itu dijangka menjadi antara tumpuan utama di kawasan terbabit apabila Ma’mun, 60, yang juga bekas Ahli Parlimen Kalabakan mewakili parti Warisan Sabah (WARISAN) yang akan berdepan Chaya, 63, yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kalabakan, mewakili Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018 Ma’mun memenangi kerusi Parlimen Kalabakan, namun gagal mengekalkan kemenangan itu pada PRU15 (2022).

Beliau kini kembali ke gelanggang politik negeri dengan harapan mengembalikan pengaruh WARISAN di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Chaya bukan nama baharu di DUN Kukusan kerana pada PRN lalu, beliau bertanding di kerusi sama, namun tewas dengan majoriti 10 undi kepada calon WARISAN ketika itu, Datuk Rina Jainal.

Ketika dihubungi, Chaya berkata, hubungan kekeluargaan tidak menjadi penghalang dalam perjuangan politik mereka, sebaliknya melihat PRN sebagai medan demokrasi sihat untuk rakyat menilai calon terbaik.

“Kami bertanding secara profesional. PRN adalah wadah rakyat menentukan siapa yang layak mewakili mereka dan parti mana yang lebih dekat di hati rakyat,” katanya.

Pertembungan dua beradik ini dijangka menambah warna dalam kancah PRN Sabah kali ini, khususnya di DUN Kukusan yang sering menyaksikan saingan sengit antara calon bertanding untuk meraih sokongan khususnya dalam kalangan pengundi muda dan wanita.

Untuk rekod, DUN Kukusan adalah kawasan baharu diwujudkan pada PRN Sabah pada 2020.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top