am@hmetro.com.my
Kajang: Seorang lelaki ditahan, hari ini bagi membantu siasatan berhubung perbuatan khianat selepas dipercayai menendang sebuah kereta di kaunter bayaran Tol Kajang Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di sini, seperti video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki warga tempatan berusia 24 tahun yang juga pekerja swasta itu ditahan di sekitar Kajang.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4 petang, semalam sebelum video berdurasi 1 minit 26 saat yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial, hari ini.
“Polis juga sudah menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang pemandu e-hailing berusia 65 tahun yang memandu Proton Saga ketika kejadian.
“Akibat daripada kejadian berkenaan, kenderaan mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Punca dan motif kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan sikap bertimbang rasa, mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah demi keselamatan bersama.
Terdahulu video memaparkan seorang penunggang motosikal menendang sebuah kereta sambil dilihat memarahi pemandu kereta itu di tol berkenaan tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




