Penduduk Kampung Papan bakal terima kediaman mampu milik

Penduduk Kampung Papan bakal terima kediaman mampu milik

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Penduduk Kampung Papan, Pandamaran yang terkesan dengan perobohan rumah bakal menerima kediaman mampu milik yang akan dibangunkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dipersetujui bersama dalam mesyuarat pagi tadi apabila pihak pemaju bersetuju menyerahkan tanah seluas 2.8 hektar bagi projek pembangunan menyeluruh.

“Akhirnya pemaju setuju untuk serahkan tujuh ekar (2.8 hektar) tanah dan kita akan bangunkan untuk penduduk berkenaan tetapi (akan) ambil masa kerana ia melibatkan pembangunan menyeluruh.

“Untuk sementara waktu boleh tinggal di rumah Smart Sewa. Kalau ada masalah kewangan kita boleh bincang,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2026, hari ini.

Beliau turut meluahkan rasa kesal apabila isu berkenaan berlarutan sekian lama dan kerajaan negeri selaku ‘orang tengah’ sudah berusaha sebaik mungkin untuk membantu kedua-dua pihak.

Katanya, beliau juga yakin isu pemilikan tanah berkenaan dapat diselesaikan secara harmoni jika wakil penduduk tidak membawa kes berkenaan ke peringkat mahkamah.

Jelasnya, sudah banyak kali penyelesaian cuba dilakukan termasuk pada penggal lepas, pemaju mahu sediakan tapak tetapi masing-masing tidak mahu mengalah dan mahu teruskan dengan kes mahkamah.

“Akhirnya apa yang terjadi, mereka meneruskan kes dan mahkamah buat keputusan tanah itu milik pemaju. Kerajaan negeri cuba bantu tetapi usaha itu tidak berjaya,” katanya.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, kerajaan negeri menawarkan penempatan sementara melalui Skim Smart Sewa kepada peneroka yang memerlukan, dengan kadar sewa berpatutan.

Borhan turut menyifatkan penyerahan tanah seluas 2.8 hektar itu adalah penyelesaian jangka panjang sekali gus memastikan penyudahan yang adil dan terancang kepada peneroka.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 20 rumah di Kampung Papan terbabit dalam kerja pengosongan yang dijalankan sejak Isnin bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh pemaju.

Bagaimanapun, proses pengosongan rumah penduduk itu kecoh apabila beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk membantah dan menghalang kerja perobohan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top