Alcaraz utamakan kejuaraan Australia

Alcaraz utamakan kejuaraan Australia

Madrid: Carlos Alcaraz mengakui bahawa impiannya pada musim 2026 adalah untuk menjulang buat kali pertama gelaran Terbuka Australia, malah lebih penting baginya berbanding mempertahankan dua gelaran Grand Slam yang dimenanginya tahun ini.

Bercakap dalam program radio sukan Sepanyol El Partidazo de Cope, sehari selepas mengesahkan ranking nombor satu dunia hujung tahun di ATP Final, pemain berusia 22 tahun itu menjelaskan Terbuka Australia kini menjadi keutamaannya.

“Pada 2026, saya lebih rela menang Terbuka Australia sahaja daripada menang dua Grand Slam yang sama berulang,” katanya.

Alcaraz, yang pencapaian terbaiknya di Melbourne Park hanyalah suku akhir pada 2024 dan 2025, mengakui dia masih jauh daripada status pemain terbaik dunia walaupun ranking menunjukkan sebaliknya.

“Saya belum yang terbaik, kerana masih ramai pemain yang boleh kalahkan saya. Saya sudah tewas kepada ramai pemain. Ranking itu satu perkara, realiti di gelanggang satu perkara lain,” katanya.

Dalam aksi suku akhir tahun lalu, Alcaraz tewas kepada Novak Djokovic 4-6, 6-4, 6-3, 6-4, namun legenda Serbia itu kemudian menarik diri di separuh akhir akibat kecederaan dan kekal memburu gelaran Grand Slam ke-25 serta kejuaraan Australia kali ke-11.

Juara enam kali Grand Slam itu turut mengakui impian jangka panjangnya adalah memecahkan rekod Djokovic suatu hari nanti.

“Saya akan tanda tangan terus untuk 23 Grand Slam jika diberi sekarang. Saya mahu jadi pemain paling banyak menang Grand Slam. Saya mahu lepasi Djokovic. Tapi 23 itu bukan gurauan,” katanya.

“Itu sasaran penghujung karier untuk berada dalam kelompok sama dengan Rafa Nadal, Roger Federer dan Djokovic. Saya mahu orang merasakan saya layak berada di meja itu.”

Alcaraz menutup tahun dengan musim terbaik kariernya, mara tiga final Grand Slam, menewaskan Jannik Sinner untuk memenangi Terbuka Perancis dan Terbuka Amerika Syarikat, selain tewas kepada pemain Itali itu di final Wimbledon.

Pemain muda Sepanyol itu kini dalam landasan tepat untuk memburu gelaran sulung ATP Final menjelang aksi separuh akhir menentang Felix Auger Aliassime.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top