Valencia: Alex Marquez menutup tirai musim MotoGP 2025 dengan penuh bergaya apabila menjuarai aksi pecut terakhir di Litar Ricardo Tormo, kemenangan ketiganya dalam saingan perlumbaan pecut tahun ini.
Pelumba Ducati-Gresini itu, yang sudah mengesahkan kedudukan naib juara dunia di belakang abangnya, Marc Marquez, menewaskan bintang KTM, Pedro Acosta dengan kelebihan 1.149 saat, manakala Fabio Di Giannantonio menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Bermula dari petak kedua di belakang Marco Bezzecchi, Alex pantas merampas kedudukan pendahulu sebaik memasuki selekoh pertama.
Bezzecchi pula terus merosot selepas Acosta memintasnya di selekoh kedua, sebelum pelumba Itali itu menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Namun keputusan itu sudah memadai untuk Bezzecchi menamatkan musim di kedudukan ketiga keseluruhan, sekali gus menghadiahkan penamat podium keseluruhan pertama dalam sejarah buat Aprilia.
Juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia yang bergelut sepanjang minggu ini terus merudum apabila hanya mampu menamatkan aksi pecut di tempat ke-14, menyaksikan kedudukannya jatuh ke tangga kelima di belakang Acosta dalam kedudukan keseluruhan.
Jorge Martin, juara dunia 2024, pula menamatkan aksi di tangga ke-22 ketika membuat kemunculan semula selepas mengalami patah tulang selangka pada September lalu.
Untuk rekod, perlumbaan akhir musim di Valencia tahun lalu dibatalkan susulan banjir besar yang melanda rantau berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




