Benn berjaya lunas dendam

Benn berjaya lunas dendam

London: Conor Benn mendominasi Chris Eubank Jr sepanjang 12 pusingan dalam pertarungan middleweight di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi tadi, untuk merangkul kemenangan sebulat suara, sekali gus membalas dendam kekalahannya dalam pertemuan pertama mereka pada April lalu.

Benn tewas dalam pertarungan itu selepas ketiga-tiga pengadil memberikan keputusan 116-112 memihak kepada lawannya, namun Benn, 29, mempamerkan aksi paling cemerlang dalam karier profesionalnya sepanjang 36 minit di dalam gelanggang, awal pagi tadi.

Benn mengasak lawannya sejak pusingan awal sehingga pusingan terakhir, menjatuhkan lawannya ke kanvas dua kali, sebelum loceng penamat menyelamatkan Eubank Jr dalam satu lagi pertarungan epik antara dua petinju British itu.

Dengan bapa kedua-dua petinju pernah terbabit dalam perseteruan epik pada era 1990-an – yang kembali berulang dalam dua pertarungan edisi 2025 – Benn akhirnya mencatat kemenangan pertama untuk keluarganya ke atas keluarga Eubank dan menegaskan bahawa tiada lagi perlawanan ulangan.

“Saya rasa ini pengakhiran saga Benn-Eubank. Tamat. Selesai. Ia berakhir di sini,” katanya sambil membidas pengkritiknya dan memuji Eubank Jr.

“Semua orang kata saya tak pandai bertinju? Ambil kata-kata itu dan telan semula… kredit kepada Chris, itu sahaja yang saya nak cakap. Terima kasih kerana berkongsi gelanggang dengan saya,” katanya lagi.

Sementara itu, Eubank Jr menerima kekalahan dengan berlapang dada, tanpa memberi sebarang alasan atas prestasinya yang hambar dan mengakui lawannya lebih baik.

“Saya sudah cuba sehabis baik, dan dengar sini, Benn bertarung dengan hebat. Dia kuat, dia bertenaga.

“Siapa tahu, mungkin akan ada sesuatu yang baharu antara saya dan dia, mungkin juga tidak, tetapi buat masa ini, malam ini adalah miliknya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top