IIM bangun modul integriti kanak-kanak, didik sejak usia muda

IIM bangun modul integriti kanak-kanak, didik sejak usia muda

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Putrajaya: Institut Integriti Malaysia (IIM) sedang melaksanakan projek rintis pembangunan modul integriti untuk kanak-kanak bagi peringkat awal persekolahan sebagai usaha memperkukuh pendidikan moral sejak peringkat awal.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IIM Datuk Ahmad Ramdzan Daud berkata, pihaknya kini mengendalikan projek rintis di beberapa lokasi bagi menilai penerimaan dan kaedah pembelajaran yang sesuai.

“Modul berkenaan bakal disasarkan kepada kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun dan membabitkan keseluruhan 24,785 pusat berdaftar di seluruh negara sama ada kerajaan atau swasta.

“Integriti ini seharusnya diteruskan, ia adalah satu pendidikan yang perlu ditanam daripada peringkat anak-anak sampai ke dewasa,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Kempen Integriti dan Antirahsuah (KIA) 2025 di Pejabat IKRAM, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Ahmad Nizam Ismail dan Presiden Pertubuhan IKRAM (IKRAM) Malaysia Badlishah Sham Bahari.

Mengulas lanjut, menurutnya, rundingan meja bulat turut diadakan bersama pemegang taruh termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), badan bukan kerajaan (NGO), pengusaha taman usaha kanak-kanak (taska) dan taman didikan kanal-kanak (tadika) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memperhalusi kandungan modul.

“Kami mengharapkan bahawa modul ini akan dijadikan polisi oleh pihak kerajaan,” katanya.

Menurutnya, maklum balas yang diperoleh menerusi projek rintis ini akan digunakan untuk membentuk modul yang lebih komprehensif sebagai asas pendidikan oleh kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top