Islam sukar digugat, sambar kejuaraan welterweight UFC

Islam sukar digugat, sambar kejuaraan welterweight UFC

New York: Islam Makhachev berada di kelas tersendiri apabila menundukkan Jack Della Maddalena dalam pertarungan lima pusingan untuk meraih kemenangan sebulat suara, sekali gus memenangi kejuaraan welterweight UFC di Madison Square Garden, hari ini, manakala Valentina Shevchenko pula mengekalkan gelaran flyweight.

Islam langsung tidak berdepan masalah menaikkan kelas berat selepas melepaskan gelaran lightweight demi cabaran baharu, apabila dia mendominasi lawannya dari Australia itu selama 25 minit melalui aksi gusti yang penuh tekanan, sekali gus mencatat kemenangan UFC ke-16 berturut-turut.

Atlet berusia 34 tahun itu merencatkan pergerakan pencabarnya yang berusia 29 tahun dengan tendangan betis sebelum melancarkan serangan gusti yang berterusan.

Della Maddalena gagal mencari jawapan, terperangkap di atas gelanggang sambil berdepan ancaman kuncian sepanjang tempoh yang panjang.

“Ini memang perancangan saya. Ia bukan rahsia, semua lawan saya tahu mengenainya dan tiada siapa mampu menghentikannya,” kata Islam sebelum meminta lokasi untuk pertahanan gelaran pertamanya berlangsung di acara yang dicadangkan di Rumah Putih pada 2026.

Ketiga-tiga pengadil memberikan mata 50-45, menyaksikan Islam menjadi atlet ke-11 dalam sejarah UFC yang memegang gelaran dalam dua divisyen berbeza.

Dalam pertarungan bersama utama, impian Zhang Weili untuk menyertai senarai atlet dua divisyen itu tidak kesampaian apabila Valentina yang penuh pengalaman berjaya mengatasi lawannya dalam satu lagi persembahan dominan untuk mengekalkan gelaran flyweight.

Atlet berusia 37 tahun dari Kyrgyzstan itu mempamerkan kemahirannya, menyerang tepat lawannya dari China dengan pukulan dan tendangan badan yang menyakitkan, sebelum menjatuhkannya dan mengawal pertarungan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top