redzuan.muharam@hmetro.com.my
Klang: Penghidap talasemia, Muhamad Daiyan Rizqi Mohamad Redzuan atau nama manjanya Daiyan bakal menjalani pembedahan menggantikan alat kemopot di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), dekat sini pada Khamis depan.
Bapanya, Mohamad Redzuan Hashim, 30, berharap pembedahan Daiyan yang berumur tiga tahun berjalan lancar walaupun belum ada tanda menunjukkan anaknya akan sembuh.
Mohamad Redzuan dari Bukit Tinggi, di sini berkata, dia pula sudah tidak bekerja jadi hanya bergantung dengan wang simpanan untuk membeli keperluan Daiyan dan itu yang merunsingkannya.
Bagaimanapun, Mohamad Redzuan bersyukur kerana dapat membeli alat kemopot berharga RM780 dengan wang simpanan dan sumbangan pengikut di media sosial cuma sedang mencari jalan bagi membayar kos pembedahan sebanyak RM500.
“Sebagai bapa, saya hanya nak Daiyan pulih seperti yang lain kerana termasuk akan datang ini, sudah 13 kali dia buat pembedahan.
“Nak buat terbaik untuk anak, sebab dia darah daging saya. Ikutkan bukan pusing kepala fikirkan Daiyan saja tapi juga sebab kerja.
“Sebelum ini kerja sebagai operator gudang di sebuah syarikat penghantaran namun berhenti sebab ada masalah. Terkial-kial juga ada pusing cari kerja di sekitar rumah juga namun belum ada rezeki,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Daiyan yang baru merasai nikmat duduk sejak empat bulan lalu selain pernah menjalani 12 kali pembedahan di hospital.
Sebelum itu, Daiyan hanya terbaring dan dia jadi begitu selepas terjatuh ketika berumur setahun enam bulan yang menyebabkan berlakunya pendarahan beku di kepala.
Lebih menyedihkan, Daiyan masih tidak dapat duduk dalam keadaan menegak kerana masalah pada buah pinggang selain lemah pada kiri badan dan bengkak limpa.
Bukan setakat itu, Daiyan juga disahkan doktor menghidap talasemia yang menyebabkan dia perlu dibawa ke HTAR, di sini, setiap dua minggu sekali bagi menambah bekalan darah.
Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong bernombor 12650286193 atas nama Mohamad Redzuan Hashim.
© New Straits Times Press (M) Bhd




