wanasr@hmetro.com.my
Persaingan sengit mengisi slot ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) 40 sudah diketahui Sabtu lalu. Daripada 30 lagu yang disenarai pendek hanya 10 lagu ciptaan komposer dan penulis lirik hebat tanah air disenaraikan untuk beraksi di pentas prestij itu di Unifi Arena, Kuala Lumpur pada Ogos depan.
Selepas sekian lama ditunggu-tunggu peminat, akhirnya AJL 40 melengkapkan senarai kemuncaknya memandangkan kebiasaannya acara yang mengiktiraf bakat penyanyi dan pencipta lagu tempatan ini berlangsung sekitar awal tahun.
Pastinya cabaran terbesar adalah memilih lagu hebat dan dinyanyikan oleh artis popular tanah air.
Seperti kebiasaan pada setiap tahun kita juga tidak ketinggalan mengikut perkembangan karya baharu, unik dan hebat dihasilkan karyawan seni industri hiburan tanah air.
Mengetuai saingan AJL 40 ialah juara AJL edisi 39 menerusi lagu Hening Rindu iaitu Marsha Milan yang kali ini mempertaruhkan karya Tangisan Seorang Pendosa, ciptaannya sendiri dan lirik dihasilkan Hazama.
Diikuti penyanyi popular, Aina Abdul yang menjuarai AJL 37 melalui lagu Terus Hidup, membawa single ciptaan sendiri, Kamu.
Manakala Juara AJL 31 melalui lagu Lelaki Teragung, Dayang Nurfaizah mempertaruhkan lagu Lemah ciptaan dan lirik Hael Husaini yang pastinya bakal tampil dengan persembahan hebat masing-masing.
Penyanyi berbakat, Wani Kayrie pula tidak dapat menahan sebak saat diumumkan layak ke pentas akhir AJL 40 menerusi lagu Lagu Cak Cak Cekuk, ciptaan Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh.
Sementara beberapa finalis turut mencipta kejutan antaranya lagu Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I, lagu Lumangad Oku Dika nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Ryenald Guntabid serta Ke Mana Ni oleh Luca Sickta, Kmy Kmo dan Salammusik ciptaan serta lirik oleh Kmy Kmo dan Luca Sickta.
Turut tersenarai lagu Nurcinta nyanyian Amir Masdi yang dihasilkan sepenuhnya bersama Edry Abd Halim, Tak Adil nyanyian Aisha Retno ciptaan bersama Radi dan lirik Aisha serta Semacam Pandora oleh Hazama ciptaan Hazama, Zimi, Genervie Kam dan Ritz Metalasia serta lirik oleh Zel Hadauan.
Kita percaya setiap karya mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri, sekali gus menjadi pilihan juri profesional untuk bersaing di pentas akhir.
Selain impak lagu terbabit penampilan di malam kemuncak pasti ditunggu-tunggu peminat muzik tanah air.
Dengan tema dan konsep tersendiri AJL 40 pastinya terus menjadi acara pilihan ramai secara tidak langsung memartabatkan industri seni tanah air.
Dilaporkan juga jarak mata yang sangat rapat sedikit sebanyak menyukarkan barisan juri membuat pilihan untuk menyenaraikan finalis AJL 40.
Pada sidang media sebaik berakhirnya peringkat separuh akhir AJL, Ketua juri, Datuk Acis berkongsi bahawa pemilihan 10 finalis berkenaan bukan bersandarkan kekuatan vokal, sebaliknya komposisi lagu, lirik, kerja produksi dan kelainan yang menyerlahkan lagi karya menjadi kriteria utama.
Mengambil contoh kelainan yang ditampilkan dalam lagu Cak Cak Cekuk, Ke Mana Ni dan Tiwikarna menjadi antara faktor penting dalam menentukan senarai akhir.
Begitupun, sebahagian peminat masih mempersoalkan beberapa lagu yang dikatakan favorite dan dinyanyikan artis popular seperti Haqiem Rusli, Imran Ajmain dan ramai lagi yang gagal bolos ke malam kemuncak AJL 40.
Kegagalan ini dikatakan atas beberapa faktor termasuk penyampai yang kurang memuaskan pada saingan separuh akhir minggu lalu.
Sekalipun mendapat sambutan menggalakkan daripada pendengar, namun mungkin belum rezeki lagu terbabit tersenarai pada edisi kali ini.
Begitupun lagu berkenaan tetap dianggap ‘pemenang’ pada pendengar dan masih mendapat permintaan hebat peminat muzik.
Buat finalis AJL 40 pula kita harap mereka dapat memanfaatkan tempoh beberapa bulan ini untuk membuat persiapan terbaik dan tampil dengan persembahan hebat pada malam kemuncak AJL 40 nanti.
Penulis Penolong Pengarang Hiburan Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd




