BERMULA sekadar inisiatif kecil bagi membantu golongan berpendapatan rendah, projek tanaman sayur secara hidroponik di Kampung Sri Kulim, Mukim Padang Raja, Melor, Kota Bharu kini menjadi sumber pendapatan dan inspirasi komuniti setempat, terutama golongan B40.
Program di bawah Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Padang Raja itu melibatkan 10 peserta e-Kasih berusia antara 35 hingga 66 tahun, dengan majoritinya terdiri daripada suri rumah.
Suri rumah, Bariah Yaakob, 66, berkata, dia mula menyertai projek tersebut pada awal tahun lalu dan tidak menyangka mampu menjana pendapatan sendiri.
‟Dulu duduk di rumah sahaja, sekarang setiap bulan ada hasil berniaga dan pelanggan ramai sekitar kampung, malah ada yang dikirim ke Kuala Lumpur melalui anak semasa dia pulang ke kampung.
‟Kami tanam sayur seperti salad, bayam merah dan sawi Jepun menggunakan sistem hidroponik, sama seperti di Cameron Highlands,ˮ katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tanaman hidroponik bukan sahaja mudah diurus, malah tidak terjejas oleh faktor cuaca seperti banjir atau kemarau kerana ditanam pada paras lebih tinggi.

Badrul Hisyam menunjukkann bayam merah yang disemai dan tumbuh dengan baik.
Projek yang bermula sekitar Jun tahun lalu itu kini mampu mengeluarkan hasil sehingga empat kali jualan sebulan, dengan harga sayur segar seperti salad mencecah sekitar RM8 sekilogram, manakala bayam merah antara RM8 hingga RM12 sekilogram.
Pengerusi JPKKP Mukim Padang Raja, Badrul Hisyam Yaacob berkata, setiap blok tanaman diusahakan oleh dua peserta dengan anggaran keseluruhan sehingga 10,000 pokok pada satu-satu masa.
Katanya, hasil tanaman dijual secara terus kepada pelanggan tanpa orang tengah, termasuk melalui tempahan tunai semasa penghantaran (COD), sekali gus memastikan kesegaran produk dan pulangan lebih baik kepada peserta.
‟Ini kali pertama projek seperti ini dilaksanakan di Mukim Padang Raja dan sambutan sangat menggalakkan. Setiap hari memang ada permintaan dan hasilnya boleh menampung perbelanjaan harian,ˮ katanya.
Selain sayur berdaun, projek itu turut merancang menanam rock melon dan timun.
Bagi seorang lagi peserta, Mohd Saupi Idris, 66, yang juga bekas anggota tentera, projek tersebut menjadi aktiviti mengisi masa lapang yang bermanfaat.

Mohd Saupi memindahkan anak pokok ke dalam pasu plastik.
‟Tidak berat, satu hingga dua jam sehari sudah cukup untuk menyemai benih, seminggu kemudian boleh dipindahkan ke sistem hidroponik.
‟Dalam beberapa hari sudah nampak hasil,ˮ katanya yang mengusahakan tanaman sayur di tapak hadapan rumahnya.
Dengan hanya menggunakan span dan bekas semaian khas, kira-kira 900 anak pokok boleh dipindahkan dalam satu masa, menjadikan proses lebih sistematik dan mudah dikendalikan walaupun oleh warga emas.
Selain menjana pendapatan, projek itu turut mengeratkan hubungan komuniti apabila peserta berkongsi ilmu dan pengalaman, termasuk melalui kumpulan pengajian dan media sosial.
Inisiatif ini membuktikan bahawa dengan bimbingan dan usaha berterusan, golongan berpendapatan rendah juga mampu berdikari serta menjadikan pertanian moden sebagai sumber rezeki yang stabil.



