'Ibu nak Imani membesar sihat'

'Ibu nak Imani membesar sihat'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Krai: “Saya tak minta dia jadi normal macam anak lain tapi cukup tengok dia membesar dengan sihat.

“Kehadirannya dalam hidup saya bukan beban malah bersyukur kerana terpilih menjadi ibu kepada anak syurga dan terlalu sayangkannya,” kata Nur Shahera Mad Nasir yang dikurniakan anak syurga diberi nama Nur Imani Salsabila Muhd Ismadi Adli atau nama manjanya Imani.

Nur Shahera, 34, berkata, Imani yang berusia 42 hari (ketika temu bual) adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan menghidap hidrosefalus atau lebihan cecair dalam kepala sejak lahir.

Nur Shahera yang menetap di Kampung Pahi, dekat sini berkata, masalah itu dikesan sejak hamil iaitu ketika bayi dalam kandungannya berusia 30 minggu dan pada awalnya dia masih positif.

“Tapi selepas bersalin dan tengok keadaan anak yang juga dilahirkan tanpa telinga kanan, saya terus menangis kerana sedih lihat keadaannya.

“Susah juga nak menerima hakikat pada awalnya malah setiap malam menangis sebab patah semangat.

“Tapi insan terdekat terutama emak, nenek dan kawan banyak beri semangat untuk terus kuat hadapi ujian begitu juga sepupu yang dekat selalu ada dan kawan yang jauh selalu bertanya khabar dan memberi banyak semangat,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nur Shahera berkata, ukuran kepala Imani ketika lahir adalah 45 sentimeter (cm) dan yang terbaru 54 cm.

Menurut Nur Shahera, saiz kepala anaknya boleh semakin membesar dan kerana itu doktor mengesyorkan pembedahan VP Shunt iaitu pemasangan tiub kekal yang dipasang dalam badan bawah kulit dari bahagian kepala sehingga ke (bahagian) perut.

“Ikutkan, doktor tak bagi jaminan cuma pernah beritahu kemungkinan Imani akan meninggal dunia sebelum ini tapi nampaknya Imani kuat.

“Doktor cadangkan juga buat VP Shunt tapi belum teruskan kerana takut dengan risiko tapi jika tak lakukan, ada kemungkinan anak diserang sawan.

“Jadi, saya kena ikut nasihat doktor kerana ingin membuat pilihan yang terbaik demi anak selagi dia masih bernyawa,” katanya.

Di sebalik ujian itu, Nur Shahera bersyukur kerana Imani anak yang mudah dijaga dan tidak banyak menangis.

“Cuma buat masa ini, Imani minum susu menggunakan tiub ‘Ryles’ setiap tiga jam sekali dan macam biasa, saya kena tukar lampin pakai buangnya.

“Sebelum ini, Imani dimasukkan ke wad selama empat hari kerana demam tapi sekarang sudah pulang.

“Saya harap Allah SWT permudahkan semuanya kerana tak sanggup tengok dia terseksa dan sebagai ibu, saya akan terus menjaganya sekiranya dipanjangkan usia,” katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Nur Shahera berkata, tujuannya memuat naik video di platform berkenaan adalah untuk menjadikannya sebagai kenangan, bukannya meraih simpati.

“Saya nak simpan memori di situ supaya dapat lihat semula perjalanan bersama anak syurga saya satu hari nanti.

“Lagipun, ramai juga ingin tahu perkembangan Imani dan syukur kerana ramai yang mendoakan serta memberi kata semangat di ruangan komen.

“Sebagai ibu, saya anggap kehadiran Imani sebagai anugerah terindah daripada Allah SWT dan percaya pasti ada rezeki-Nya untuk anak syurga saya,” katanya yang mempunyai dua lagi cahaya mata berumur lima dan lapan tahun.

Ketika ini, Nur Shahera yang bekerja sebagai pembantu farmasi masih dalam tempoh berpantang.

Bagaimanapun, Nur Shahera merancang berhenti kerja bagi memberi tumpuan kepada anaknya namun buntu kerana memerlukan wang bagi menampung kos pembedahan VP Shunt dan kelangsungan hidup.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7626319273 atas nama Nur Shahera Mad Nasir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top