Haiwan juga trauma dan perlu rawatan segera jika terbabit dalam kemalangan

Haiwan juga trauma dan perlu rawatan segera jika terbabit dalam kemalangan

mahaizura@mediaprima.com.my

Tindakan wanita Muslim memeluk anjing selepas kenderaan membawa haiwan itu terbabit kemalangan baru-baru ini, mencetuskan pelbagai reaksi.

Namun, di sebalik perdebatan itu, apa yang lebih penting ialah untuk memahami bahawa kecederaan haiwan bukan sekadar luka, namun turut membabitkan aspek emosi yang sering terlepas pandang.

Dalam situasi cemas, tindakan spontan seperti memeluk haiwan mungkin dilihat sebagai naluri kemanusiaan, namun di sebaliknya, wujud keperluan untuk memahami keadaan sebenar haiwan yang sedang trauma.

Menjelaskan perkara itu, doktor perubatan veterinar, Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali berkata, haiwan yang terbabit dalam kemalangan bukan sahaja berdepan kecederaan fizikal, malah turut berdepan tekanan emosi yang boleh memberi kesan berpanjangan jika tidak ditangani dengan betul.

Katanya, lazimnya, fokus sering tertumpu kepada kecederaan jelas seperti luka, patah tulang atau pendarahan sedangkan trauma emosi juga sama penting untuk diberi perhatian.

“Trauma fizikal merangkumi kecederaan tisu lembut, patah tulang, kecederaan dalaman serta trauma kepala.

“Dalam kes serius, haiwan juga boleh mengalami kejutan yang mengancam nyawa dan memerlukan rawatan segera.

“Jadi, sentuhan seperti membelai atau memeluk haiwan juga boleh memberi ketenangan jika dilakukan dengan berhati-hati,” katanya.

Namun, katanya, trauma tidak terhenti kepada aspek fizikal semata-mata apabila haiwan melalui pengalaman menakutkan seperti kemalangan.

“Antara tanda yang sering diperhatikan termasuk mudah terkejut, ketakutan melampau, gemar bersembunyi serta perubahan tingkah laku seperti menjadi agresif atau terlalu pasif.

“Ada juga haiwan menunjukkan tanda kemurungan seperti kurang aktif, hilang selera makan dan tidak berminat untuk berinteraksi, malah dalam sesetengah kes menjadi terlalu berjaga-jaga (‘hypervigilant’) seolah-olah sentiasa berada dalam keadaan ancaman,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Salehatul Khuzaimah berkata, perubahan tingkah laku selepas kemalangan adalah petunjuk penting yang tidak boleh diabaikan walaupun kecederaan fizikal sudah dirawat.

Malah, dalam keadaan tertentu, ia boleh menjurus kepada kemurungan atau tingkah laku agresif secara tiba-tiba akibat rasa takut atau kesakitan yang masih dirasai.

Justeru, kata beliau, rawatan perlu dilakukan secara menyeluruh dengan memastikan kesakitan fizikal dikawal terlebih dahulu sebelum memberi tumpuan kepada pemulihan emosi.

“Persekitaran tenang dan selamat sangat penting bagi membantu haiwan berasa lebih selesa dan kurang terancam manakala dalam kes tertentu, penggunaan ubat seperti anti-depresi atau penenang mungkin diperlukan di bawah pengawasan doktor veterinar.

“Tempoh pemulihan trauma pula berbeza bagi setiap haiwan, bergantung kepada tahap kecederaan, umur, kesihatan dan sifat semula jadi haiwan itu sendiri.

“Ada yang pulih dalam beberapa hari, namun ada juga yang mengambil masa berbulan-bulan terutama jika persekitaran selepas kejadian tidak stabil,” katanya.

Dalam konteks ini, Dr Salehatul Khuzaimah menegaskan, peranan pemilik haiwan amat penting dalam membantu proses pemulihan.

“Sokongan emosi yang konsisten boleh membantu haiwan membina semula rasa selamat yang hilang akibat trauma,” katanya.

Dr Salehatul Khuzaimah turut berkongsi tips mengendalikan haiwan selepas kemalangan:

1) Pastikan keselamatan diri terlebih dahulu sebelum mendekati haiwan kerana haiwan cedera berisiko bertindak agresif akibat takut atau sakit.

2) Dekati haiwan secara perlahan tanpa pergerakan mengejut atau bunyi kuat bagi mengelakkan tekanan bertambah.

3) Perhatikan keadaan haiwan tanpa terlalu banyak menggerakkan anggota badan terutama jika disyaki patah.

4) Jika berlaku pendarahan, tekan perlahan menggunakan kain bersih untuk mengawal aliran darah sementara.

5) Hadkan pergerakan haiwan dengan sokongan stabil seperti papan, kotak atau tuala tebal bagi mengelakkan kecederaan tambahan.

6) Letakkan haiwan di persekitaran tenang, kurang bunyi dan tidak sesak bagi membantu menstabilkan emosinya.

7) Segera bawa haiwan ke klinik veterinar walaupun kelihatan stabil kerana kecederaan dalaman mungkin tidak jelas.

8) Pantau perubahan tingkah laku selepas kejadian seperti hilang selera makan, ketakutan atau perubahan rutin sebagai tanda trauma berterusan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top