Kuala Lumpur: Beberapa laman sesawang tempatan termasuk beberapa portal berita tidak dapat diakses hari ini susulan kemerosotan perkhidmatan dalaman yang dialami oleh Cloudflare.
Cloudflare merupakan syarikat infrastruktur dan keselamatan Internet global.
Dalam kemaskininya hari ini, Cloudflare berkata pihaknya bertindak dengan membuat perubahan yang membolehkan perkhidmatan Access dan WARP kembali pulih dengan tahap seperti sebelum gangguan itu terjadi.
Bagaimanapun, syarikat berkenaan berkata pihaknya masih berusaha untuk memulihkan perkhidmatan yang terjejas.
Berkenaan kemas kini terkini, Cloudflare berkata ia terus berusaha untuk memulihkan perkhidmatan untuk pelanggan perkhidmatan aplikasi.
Sementara itu, pengendali bursa tempatan Bursa Malaysia Bhd dalam hantaran di platform X berkata pada masa ini, platform mereka tidak dapat diakses disebabkan gangguan global Cloudflare.
“Kami akan memberikan maklumat terkini sebaik sahaja kami beroperasi semula.
“Kami memahami kesulitan yang berlaku akibat gangguan ini dan memohon maaf dengan tulus ikhlas.
“Kami sedang memantau situasi ini dengan teliti dan berharap dapat memulihkan perkhidmatan sepenuhnya dalam masa terdekat,” kata Bursa Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




