Perlanggaran skylift punca runtuhan ECRL di MRR2

Perlanggaran skylift punca runtuhan ECRL di MRR2

lokman.khairi@hmetro.com.my

Gombak: Perlanggaran ‘boom’ jentera skylift dikenal pasti sebagai punca insiden runtuhan binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Batu Caves, di sini, semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, dapatan itu adalah berdasarkan siasatan awal dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Beliau berkata, perlanggaran itu terjadi semasa kerja pemeriksaan ketebalan cat oleh subkontraktor Wuhan Construction Sdn Bhd.

“Selain itu, kerja berisiko tinggi berkenaan dijalankan tanpa kebenaran bertulis (permit kerja) daripada kontraktor utama, China Communication Construction Sdn Bhd.

“Susulan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR ) sudah mengarahkan baki struktur ‘steel canopy’ yang masih ada di lokasi dibuka serta-merta bagi mengelakkan risiko kejadian berulang.

“Siasatan awal JKKP mendapati struktur binaan yang runtuh itu adalah struktur perlindungan sementara bagi mengelakkan objek jatuh ke jalan raya dan tidak direka untuk menampung beban hentakan,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Dalam kejadian sekitara 1.40 tengah hari semalam, seorang wanita nyaris maut selepas keretanya dihempap runtuhan binaan projek ECRL di MRR2.

Mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan orang awam dan dibawa ke hospital untuk dirawat, sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, JKKP turut mengambil tindakan penguat kuasaan dengan mengeluarkan Notis Larangan kepada Kontraktor Utama di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Notis itu bertujuan melarang mereka daripada meneruskan kerja pemeriksaan ketebalan cat pada struktur berkenaan sehingga satu sistem kerja selamat diwujudkan dan disahkan oleh JKKP.

“Semua kontraktor dan subkontraktor mesti mematuhi Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kerja Pembinaan) (Reka Bentuk dan Pengurusan) 2024, terutama dalam memastikan pentaksiran risiko dilakukan seawal peringkat reka bentuk dan diteruskan secara berterusan sepanjang tempoh projek.

“Pendekatan ini penting bagi mengenal pasti bahaya, mengambil langkah pencegahan yang sesuai serta seterusnya mengelakkan berlakunya kemalangan di tapak pembinaan,” katanya.

Beliau turut mengarahkan siasatan terperinci diteruskan bagi menentukan punca sebenar insiden serta memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi keperluan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan JKKP menjalankan pemeriksaan keseluruhan jajaran ECRL yang berdekatan jalan raya bagi memastikan setiap kontraktor mematuhi peraturan sedia ada.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top