Belai kulit wajah supaya tampak kekal remaja

Belai kulit wajah supaya tampak kekal remaja

surayaroslan@mediaprima.com.my

Menjejak usia awal 30-an sering dianggap fasa paling stabil dalam hidup wanita.

Bagaimanapun, pada masa sama, inilah titik permulaan perubahan ketara pada kulit.

Kedutan halus mula kelihatan, pori semakin jelas dan kulit tidak lagi seanjal seperti usia 20-an.

Pakar kecantikan berpendapat, usia 30-an ialah waktu terbaik untuk wanita memulakan rutin penjagaan kulit yang lebih serius bagi melambatkan proses penuaan.

1. Pembersihan wajah dua kali sehari

Kulit pada usia ini cenderung menghasilkan minyak tidak sekata.

Justeru, pembersihan lembut pada waktu pagi dan malam cukup untuk menyingkirkan kotoran tanpa mengeringkan kulit.

Elakkan pencuci yang membuat wajah terasa ketat selepas digunakan.

2. Mulakan penggunaan serum ‘power’

Wanita awal 30-an digalakkan memasukkan serum harian untuk mengekalkan keremajaan kulit.

Antara bahan penting termasuk:

  • Vitamin C – mencerahkan dan melindungi kulit daripada radikal bebas.

  • Asid hyaluronik – mengekalkan kelembapan dalam kulit.

  • Niacinamide – mengecilkan pori, mengawal minyak dan mengurangkan cela.

    Bahan aktif pada usia ini bukan sekadar pilihan, tetapi pelaburan jangka panjang untuk kesihatan kulit.

    3. Perlahan-lahan perkenalkan retinol

    Retinol sering dipanggil ‘raja anti-penuaan’.

    Wanita dalam lingkungan 30-an digalakkan mula menggunakan retinol secara perlahan, sama ada dua atau tiga kali seminggu pada waktu malam.

    Ia membantu mempercepat pembaharuan sel dan merangsang kolagen.

    Penggunaan berlebihan boleh menyebabkan kulit kering dan menggelupas, jadi pakar menyarankan pemakaian secara berperingkat.

    4. Pelembap paling penting

    Kulit yang cukup lembap mampu menyamaratakan tekstur dan menjadikan wajah kelihatan lebih segar.

    Pilih pelembap mengandungi ‘ceramide’ atau ‘squalane’, terutama bagi mereka yang bekerja dalam ruang berhawa dingin.

    Wanita mempunyai kulit berminyak juga tetap memerlukan pelembap, tetapi pilihlah yang ringan dan tidak menyumbat pori.

    5. Pelindung matahari langkah paling wajib

    Sinar UV adalah punca utama kedutan awal dan jeragat yang sering muncul pada usia 30-an.

    Pemakaian pelindung matahari SPF 30 ke atas setiap hari membantu melindungi kolagen kulit dan mengelakkan pigmentasi.

    Ini adalah langkah paling mudah tetapi paling berkesan mengekalkan wajah muda.

    6. Kurangkan tekanan, tingkatkan tidur

    Rutin tidur tidak menentu dan tekanan kerja boleh menjadikan kulit kusam dan cepat menunjukkan tanda penuaan.

    Pakar menyarankan sekurang-kurangnya tujuh jam tidur berkualiti bagi membantu proses pembaikan kulit.

    7. Pemakanan sihat bantu kulit lebih bersinar

    Buah dan sayuran kaya antioksidan, ikan berlemak, kekacang dan air yang mencukupi membantu menjaga kesihatan kulit daripada dalam.

    Kurangkan gula, makanan bergoreng dan minuman manis kerana ia boleh mempercepatkan penuaan.

    8. Awal 30-an bukan lewat, ia permulaan terbaik

    Dengan rutin yang betul, wanita awal 30-an berpeluang mengekalkan wajah muda lebih lama. Penjagaan konsisten daripada sekarang bukan sahaja mencegah penuaan, tetapi memastikan kulit lebih sihat dan berseri dalam jangka panjang.

    © New Straits Times Press (M) Bhd

  • Scroll to Top