georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi versatil Shiha Zikir, 38, mengalami ‘anxiety’ (kerisauan) naik kapal terbang dan rasa fobia itu mula menghantuinya sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat beberapa tahun lalu.
Menurut Shiha, dia sendiri tidak pasti punca sebenarnya. Ketakutannya memuncak setiap kali terbaca atau menonton berita mengenai kemalangan udara. Sekaligus, buatkan dia merasa sangat tidak selesa.
“Selepas PKP, saya tidak tahu kenapa, ya Allah, kebimbangan itu menjadi sangat kuat. Saya tidak pasti sama ada ini adalah ‘anxiety’ atau terlalu banyak berfikir (‘overthinking’), tetapi ia benar-benar mengganggu.
“Saya tidak boleh tengok berita jika ada laporan mengenai kapal terbang terhempas. Jantung saya akan berdegup laju dan selepas itu saya mula rasa tidak senang,” katanya.
Penyanyi Renjana itu turut berkongsi dia terpaksa menolak pelbagai tawaran persembahan lumayan di luar negara, terutamanya di Indonesia selain jemputan dari Sabah dan Sarawak.
“Alhamdulillah, pihak di Indonesia masih selalu panggil jika ada projek baharu. Tetapi saya terpaksa tolak, saya beritahu mereka saya belum berani lagi.
“Bulan ini sahaja ada empat panggilan dari Sarawak. Ada untuk majlis pembukaan restoran, ada persembahan dan majlis makan malam. Semuanya saya terpaksa tolak,” katanya.
Kali terakhir Shiha menaiki pesawat adalah sebelum era PKP bermula, membuktikan betapa seriusnya fobia yang dihadapinya kini. Dia akui keinginannya meluap juga untuk melancong tapi sering terbantut.
“Doktor ada berikan ubat tidur yang kuat. Nasihatnya, saya perlu makan setengah jam sebelum masuk ke dalam pesawat. Tetapi apabila saya cuba makan sebiji dengan harapan dapat terus tidur, ia tidak berkesan.
“Setiap kali hendak membeli tiket penerbangan, keluar berita mengenai kapal terbang terhempas. Saya sampai terfikir, apa petanda ini? Perkara itu membuatkan saya terus batalkan niat,” katanya.
Shiha juga lebih memilih guna jalan darat bagi memenuhi undangan persembahan di luar Lembah Klang. Dia sanggup memandu berjam-jam lamanya ke destinasi seperti Kelantan.
“Jika ada tugasan di Kelantan atau di mana-mana yang memerlukan penerbangan, saya beritahu penganjur saya akan memandu sendiri. Artis lain mungkin sudah sampai, tetapi saya perlu bertolak sehari sebelum,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




