Jenayah seksual kebun pisang, kelindan dipenjara 5 tahun

Jenayah seksual kebun pisang, kelindan dipenjara 5 tahun

am@hmetro.com.my

Seremban: Mahkamah Sesyen di sini, tadi, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang kelindan lori bagi dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya di kebun pisang, tahun lalu.

Hakim Datin Surita Budin menetapkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 47 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan itu sejurus ia dibacakan.

Mengikut dua pertuduhan dibacakan berasingan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun empat bulan ketika kejadian dengan cara memeluk mangsa dan menunjukkan kemaluan kepadanya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan kebun pisang Kampung Stesen 3, Nilai, pada Mei 2024

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(b) yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh juga didakwa di bawah Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Katanya, dia bekerja sebagai kelindan lori, sudah berkahwin dan menanggung lima anak

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira mangsa yang masih muda.

Beliau berkata, tertuduh yang merupakan bapa saudara sepatutnya melindungi mangsa dan mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi tertuduh.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14(b), tertuduh dikenakan hukuman penjara selama lima manakala mengikut Seksyen 15(a)(i), tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama tiga yang berjalan serentak dari tarikh tangkapan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama setahun selepas selesai hukuman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top