Ops Gempur: 468 PATI ditahan di Cameron Highlands

Ops Gempur: 468 PATI ditahan di Cameron Highlands

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Cameron Highlands: Operasi khas Gempur (Ops Gempur) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), di sini hari ini, berjaya menahan 468 pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan termasuk bekerja tanpa permit sah dan memiliki dokumen palsu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu membabitkan 547 pegawai yang dilaksanakan di beberapa lokasi tumpuan di Cameron Highlands.

Katanya, operasi dirancang sejak sebulan lalu susulan banyak aduan dan risikan terhadap warga asing yang terlibat dalam aktiviti perniagaan dan pertanian.

“Operasi dibahagikan kepada empat zon utama, melibatkan seramai 1,886 individu yang diperiksa.

“Sehingga tengah hari ini, seramai 468 PATI ditahan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut, termasuk semakan kesahihan pas yang dibawa.

“Jumlah tangkapan itu, termasuk dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas operasi, di sini, hari ini.

Katanya, angka itu dijangka bertambah kerana operasi masih berlangsung di beberapa lokasi.

Menurutnya, lokasi tumpuan operasi termasuk premis perniagaan, gerai sayur dan buah, kawasan pembinaan serta kebun-kebun sayur di sekitar Cameron Highlands.

“Berdasarkan pecahan tangkapan, majoritinya terdiri daripada warga Myanmar, diikuti Bangladesh, Indonesia serta beberapa warganegara asing lain.

“Daripada jumlah keseluruhan, seramai 388 lelaki dan 76 perempuan yang berusia antara 20 hingga 54 tahun,” katanya.

Mengulas mengenai kesalahan yang dikesan, beliau berkata, banyak individu didapati menggunakan e-Pas Lawatan Kerja Sementara (ePLKS) palsu dan siasatan lanjut dijalankan bagi menjejaki ejen yang mengeluarkan pas berkenaan.

Beliau juga memberi amaran kepada majikan supaya berurusan dengan ejen berdaftar atau terus dengan JIM bagi mengelak ditipu atau berurusan dengan pas palsu.

Dalam pada itu, Zakaria menekankan operasi JIM ini berterusan sepanjang tahun dan bukan yang pertama atau terakhir di Cameron Highlands.

“Sehingga November tahun ini, seramai 83,994 individu telah ditahan di seluruh negara yang menunjukkan tindakan tegas diambil oleh pihak JIM dalam memerangi isu pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Beliau menegaskan operasi seumpama ini akan diteruskan di seluruh negara bagi memastikan warga asing yang tiada pas sah tidak terus bekerja dan menetap di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top