Arsenal dijangka 'hilang' Gabriel, Man City terus kejar takhta

Arsenal dijangka 'hilang' Gabriel, Man City terus kejar takhta

London: Arsenal dijangka beraksi tanpa tonggak pertahanan, Gabriel Magalhaes apabila melayan pesaing London, Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Isnin ini.

Pada masa sama, Manchester City terus berusaha mengekalkan tekanan ke atas pendahulu EPL itu apabila bertandang ke Newcastle pada awal pagi Ahad.

City kendalian Pep Guardiola boleh merapatkan kedudukan Arsenal di tangga teratas kepada hanya satu mata, sekurang-kurangnya untuk 24 jam, jika mereka menewaskan Newcastle.

Juara bertahan, Liverpool amat memerlukan kemenangan selepas tewas lima daripada enam perlawanan terakhir EPL, manakala Rob Edwards akan memimpin Wolves buat kali pertama sebagai pengurus.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berdepan masalah untuk menyusun semula pertahanan mereka menentang Spurs jika Gabriel terpaksa direhatkan akibat kecederaan.

Pemain Brazil itu membentuk benteng kebal Arsenal yang hanya dibolosi lima gol dalam 11 aksi EPL setakat ini.

Namun laporan menyatakan dia mungkin terpaksa berehat beberapa minggu selepas mengalami kecederaan paha ketika Brazil menang 2-0 ke atas Senegal pada aksi persahabatan di Stadium Emirates, hujung minggu lalu.

Gabriel yang membentuk gandingan mantap bersama William Saliba dan menjadi ancaman ketika sepakan penjuru, kemungkinan akan digantikan oleh Piero Hincapie atau Cristhian Mosquera.

Arsenal kini empat mata di depan City selepas seri 2-2 dengan Sunderland awal bulan ini, menamatkan rekod lapan kemenangan berturut-turut tanpa dibolosi gol dalam semua kejohanan.

Arsenal kekal menjadi pilihan untuk merangkul gelaran EPL pertama sejak 2003/04 dan mempunyai rekod menarik menentang pesaing London itu apabila sekali tewas di laman sendiri kepada Tottenham sejak 1993.

Bagaimanapun, Spurs tiba di Emirates dengan rekod kunjungan terbaik liga musim ini iaitu empat kemenangan dan satu seri daripada lima perlawanan di tempat lawan.

Harapan Liverpool untuk mempertahankan gelaran tampak semakin tipis selepas tewas lima daripada enam perlawanan, meninggalkan mereka lapan mata di belakang Arsenal.

Syarikat analisis sukan, Opta meletakkan peluang juara untuk Liverpool hanya sedikit lebih tujuh peratus, selepas dibelasah 0-3 oleh City sebelum rehat antarabangsa.

Malam esok, Liverpool akan melayan Nottingham Forest, satu-satunya pasukan yang menewaskan mereka di laman sendiri musim lalu dan skuad Arne Slot berusaha bangkit daripada kemerosotan prestasi.

Masalah utama Liverpool adalah pertahanan yang bocor apabila dibolosi sekurang-kurangnya dua gol dalam enam daripada tujuh perlawanan liga terakhir mereka.

Bekas pertahanan Liverpool, Jamie Carragher memberi amaran kelab itu mungkin terlepas kelayakan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) jika gagal memperkukuh pertahanan pada jendela perpindahan pemain Januari depan.

Laporan menyatakan Liverpool masih berminat mendapatkan pertahanan Crystal Palace, Marc Guehi, selepas rundingan pada hari akhir perpindahan sebelum ini gagal, tetapi mereka memerlukan pembaikan segera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top