mhafis@mediaprima.com.my
Shah Alam: Bekas pegawai bank didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menerima rasuah sebagai balasan mencadangkan firma guaman untuk menguruskan dokumen pembiayaan beberapa pelanggan.
Tertuduh, Mohd Khairuddin Jamaludin, 33, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Mohd Nordin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh ketika berkhidmat sebagai pegawai bank secara rasuah menerima wang keseluruhannya berjumlah RM14,883 ke dalam akaun miliknya menerusi lima transaksi daripada firma guaman Erifarizan & Hilyatu sebagai upah untuk mencadangkan firma itu sebagai penyedia dokumen perjanjian pembiayaan perumahan beberapa pelanggan antara Julai 2018 hingga Februari 2023.
Tertuduh didapati gagal melaporkan pemberian rasuah itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai yang berkaitan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



