Mayat kakak angkat pula ditemukan di bawah lori terbakar

Mayat kakak angkat pula ditemukan di bawah lori terbakar

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Satu lagi mayat ditemukan di bawah lori yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 26, Jalan Lok Heng-Mawai di sini petang semalam, yang turut mengorbankan pemandunya, R Sasitharan, 38.

Mangsa dikenali sebagai A Komala, 45, ditemukan ketika operasi mengangkat lori berkenaan dijalankan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa dipercayai kakak angkat kepada pemandu lori berkenaan.

“Pada tengah malam semalam, dimaklumkan oleh keluarga mangsa, terdapat seorang lagi mangsa bersama pemandu lelaki berkenaan, iaitu seorang wanita yang juga kakak angkatnya.

“Kira-kira jam 4.30 petang tadi mayat penumpang itu berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Semalam, pemandu lori dilaporkan rentung selepas lori Volvo yang dipandunya dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung dan terbakar, kira-kira jam 4.35 petang semalam.

Mangsa parah akibat kebakaran keseluruhan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top