am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Mengambil iktibar dari kejadian banjir besar pada tahun 2022 mendorong penduduk di Projek Penyusuan Semula Kampung (PPSK) Gunung Menerong, mengambil alternatif menyimpan barangan di atas siling bagi mengelak berlakunya kerosakan sepanjang musim tengkujuh.
Nurul Syakila Umira Harun, 32, berkata, suaminya Mohd Zuraidi Ya’kub, 37, membina tangga dan memasang papan lapis pada bahagian siling rumah.
Menurutnya, kaedah itu dilihat lebih praktikal kerana barangan yang dikategori mudah rosak seperti barangan elektrik boleh dibawa naik ke atas siling untuk disimpan.
Katanya, struktur kekal yang dibina itu memudahkan barangan untuk dibawa naik dan mudah dibawa turun apabila ingin digunakan terutama pada waktu banjir.
“Biasanya peralatan elektrik seperti mesin basuh, peti sejuk dan televisyen akan dibawa ke ruangan ini namun ia tidak dibawa turun selagi musim tengkujuh tidak tamat sepenuhnya.
“Kami yang tinggal di sini akan melalui beberapa siri gelombang banjir justeru menyimpan barangan di atas siling satu kaedah untuk menyelamatkan barangan dari ditenggelami banjir,” katanya yang tinggal di PPSK sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, alternatif dengan menjadikan siling rumah sebagai ruang simpanan barang lebih berkesan kerana paras banjir biasanya mencecah antara satu hingga 1.5 meter dan pada tahun 2022 banjir mencecah lebih dua meter.
Jirannya, Zuraida Yusof, 47, berkata dia menghuni di kawasan PPSK sejak 18 tahun lalu dan setiap tahun rutin mengemas barang dan menyimpan ke tempat lebih tinggi perlu dilakukan.
“Saya berniaga kecil-kecilan di perkarangan rumah, justeru persiapan perlu dilakukan dengan membawa naik barangan ke atas siling lebih awal.
“Rumah saya pernah ditenggelami banjir sedalam lebih dua meter hingga merosakkan kesemua barangan dan belajar dari pengalaman mendorong saya menyimpan barangan di atas siling bagi mengelak berlakunya kerosakan,” katanya.
Menurutnya, perancah besi pernah digunakan sebelum ini namun kaedah itu tidak dapat menampung untuk menyimpan barangan yang banyak.
Katanya, dia kemudian beralih menggunakan siling rumah yang kedudukannya lebih tinggi dan luas untuk menyimpan barangan dalam kuantiti yang banyak.
“Papan lapis yang tebal digunakan sebagai alas dan ia kekal sepanjang tahun tanpa perlu dibuka seperti penggunaan perancah besi sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




