Sindiket along ganggu pengarah syarikat wanita ditahan polis

Sindiket along ganggu pengarah syarikat wanita ditahan polis

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan agresif sekumpulan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ‘along’ yang mengganggu pengarah syarikat wanita membawa padah apabila mereka diberkas polis, baru-baru ini.

Semakan mendapati keempat-empat suspek lelaki warga tempatan yang ditahan itu adalah penjenayah tegar yang memiliki puluhan rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat mangsa berkaitan gangguan diterimanya daripada sindiket pinjaman wang tidak berlesen.

Menurutnya, kejadian bermula Ogos lalu apabila mangsa, seorang wanita tempatan berusia 45 tahun yang juga pengarah sebuah syarikat swasta tertarik dengan tawaran pinjaman wang yang dipromosikan menerusi Facebook (FB).

“Mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan bersetuju dengan tawaran pinjaman itu.

“Mangsa juga membuat beberapa kali pembayaran balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, mangsa didakwa lewat membuat bayaran dan dikenakan kadar bunga tambahan.

“Mangsa enggan melayan tuntutan berkenaan dan dia mula menerima pelbagai bentuk gangguan dan ancaman daripada pihak along berkenaan,” katanya.

Chang Hook berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Brickfields melancarkan serbuan dan menahan empat lelaki berusia 35 hingga 47 tahun.

“Siasatan lanjut mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes di daerah dan kontinjen lain.

“Semakan mendapati suspek pertama dan kedua mempunyai 17 rekod jenayah manakala suspek ketiga 18 rekod jenayah dan suspek keempat lapan rekod jenayah.

“Semua suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951,” katanya.

Menurutnya, kertas siasatan kini sedang dilengkapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dengan taktik sindiket pinjaman wang tanpa lesen dalam talian.

“Masyarakat diingatkan untuk membuat semakan dahulu dengan pihak yang sepatutnya bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. Sila dapatkan maklumat terkini daripada media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top