Cafu yakin 2026 masa terbaik Brazil julang Piala Dunia

Cafu yakin 2026 masa terbaik Brazil julang Piala Dunia

Madrid: Bekas kapten Brazil, Cafu percaya Piala Dunia 2026 adalah masa paling sesuai untuk juara lima kali itu merampas semula mahkota dunia buat kali pertama selepas 24 tahun.

Cafu yang memimpin Brazil menjulang gelaran kelima selepas menewaskan Jerman 2-0 pada final 2002 di Yokohama berkata, kem Brazil kali ini mempunyai ramuan tepat untuk melakar kejayaan.

“Dua puluh empat tahun selepas gelaran terakhir, saya fikir inilah masa paling tepat buat Brazil.

“Kami juga membawa masuk jurulatih yang terbukti sebagai pemenang bersiri, Carlo Ancelotti, yang akan menambah lagi kehebatan pasukan kebangsaan Brazil,” katanya kepada pemberita di Madrid ketika menghadiri Anugerah Laureus.

Bekas pertahanan kanan itu berkata, Brazil sememangnya sudah memiliki kekuatan di bahagian tengah dan serangan, justeru fokus Ancelotti kini lebih terarah kepada usaha memperkukuhkan benteng pertahanan menjelang kejohanan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada tahun ini.

“Kerana jika Brazil tidak bolos dalam Piala Dunia, mereka pasti akan menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap perlawanan,” katanya.

Cafu turut berharap penyerang Real Madrid, Vinicius Junior, yang sering terpalit kontroversi, dapat mengharungi kejohanan cemerlang.

“Piala Dunia adalah cara terbaik untuk mengatasi apa jua bentuk kontroversi.

“Dalam lapan perlawanan itu, jika Brazil mara ke final, Vinicius Junior mempunyai kemampuan untuk menunjukkan kepada seluruh dunia nilainya dan apa yang mampu dilakukannya dalam bola sepak,” katanya.

Vinicius sebelum ini mencipta bantuan gol ketika Brazil menewaskan Croatia 3-1 di Orlando pada 1 April lalu, sekali gus membantu meredakan keraguan selepas kekalahan kepada Perancis dalam satu lagi aksi persahabatan.

Pemain muda, Endrick, 19, turut menyerlah dalam kemenangan ke atas Croatia itu.

“Saya fikir ini masa yang baik untuknya.

“Ia banyak membantunya untuk berkembang, bermain, mencipta nama dan menjadi pemain penting. Sudah tentu di Real Madrid, dengan begitu ramai bintang, sukar untuk pemain muda menjadi tonggak utama.

“Dia pemain muda yang boleh banyak menyumbang kepada Brazil dan saya yakin Ancelotti memandangnya secara positif,” kata Cafu mengenai keputusan Real Madrid meminjamkan penyerang itu ke kelab Perancis, Lyon tahun lalu.

Menurut bandar pertaruhan, Brazil kini berada dalam kelompok lima pasukan pilihan, manakala juara Eropah, Sepanyol, dilihat mendahului senarai pencabar utama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top