sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal mengambil kesempatan terbaik apabila terikat seri dengan Terengganu FC, 1-1, dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Meskipun berjaya berada di depan menerusi jaringan
penyerang sensasi, Luqman Hakim Shamsudin namun kelebihan itu gagal dipertahankan sehingga ke penghujung perlawanan.
Terdahulu, kedua-dua pasukan mempamerkan persembahan bertenaga dengan saling menyerang antara satu sama lain.
Penyerang Terengganu, Junior Stephen Ngong mendapat peluang untuk memulakan jaringan apabila dia mendapat bola hasil kesilapan bahagian tengah Negeri Sembilan yang menghantar bola tidak sampai ke kaki rakan, namun sepakan lereknya dari luar kawasan penalti pada minit keenam, dapat di tangkis penjaga gol tuan rumah, Mohd Azri Ghani.
Pada minit ke-15, Terengganu menerima tamparan apabila Kyaw Min Oo dilayangkan merah dan diperintah keluar padang oleh pengadil Mohamad Usaid Jamal selepas penyerang dari Myanmar itu dikesan menjatuhkan Jovan Motika di luar kotak penalti sekali gus meletakkan skuad Penyu beraksi dengan 10 pemain.
Situasi itu diambil kesempatan oleh skuad Hobin Jang Hobin dengan melancarkan serangan bertali arus ke kawasan kubu Terengganu dalam usaha untuk mendapatkan gol.
Dua serangan merbahaya menerusi Jovan Motika dan Joseph Esso masing-masing pada minit ke-39 dan 42, hampir membuahkan hasil namun ketangkasan penjaga gol, Syed Muhammad Nasrul Haq Syed Bidin menyelamatkan gawang pelawat.
Bagaimanapun usaha gigih anak buah Nidzam Jamil akhirnya terhasil apabila Luqman Hakim Shamsudin melakukan tandukan bola kemas ke dalam gawang lawan selepas dia menerima bola hantaran lintang dari An Sangsu untuk gol pertama tuan rumah pada masa tambahan penghujung separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan dilihat terus mendominasi perlawanan dengan keupayaan mencipta beberapa peluang jaringan di hadapan gol Terengganu.
Antara percubaan terbaik termasuk sepakan lambung Takumi Sasaki dari jarak kira-kira 20 meter yang berjaya ditepis Nazrulhaq pada minit ke-64.
Ketika keputusan perlawanan dilihat memihak kepada Negeri Sembilan, namun berubah angkara kesilapan dan kelekaan pertahanan pasukan itu apabila mereka menerima padah apabila Ubaidillah Shamsul Fazili bijak memanfaatkan peluang bola hantaran daripada Nurillo Tukhtsinov untuk meledak gol penyamaan pada minit ke-90.
Jaringan penyamaan dan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga ke wisel penamat dan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




