'Mungkin sebab muka saya macam hantu'

'Mungkin sebab muka saya macam hantu'

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Pelakon Anna Jobling meluahkan kesyukuran namanya semakin diterima oleh peminat Indonesia dan rezekinya di sana semakin bertambah.

Selepas filem Lembayung dan Sukma, Anna atau nama sebenarnya, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 24, akan terbabit dalam drama bersiri untuk sebuah stesen tv di sana pula.

“Sekarang dalam proses tunggu ‘confirmation’ lagi. Saya pun ada filem ketiga yang dah ‘shooting’ pada Julai lalu di sana dan keluar tahun depan, mungkin Januari atau Februari.

“Ia sebuah filem seram juga. Judulnya belum tahu lagi kerana sering bertukar-tukar. Ia arahan Boy Rano dan saya bawa watak utama. Pelakon lain ialah Pangeran Lantang, Naomi Zaskia dan ramai lagi.

“Tak tahu kenapa saya terpilih berlakon filem seram. Mungkin sebab muka saya macam hantu,” katanya bergurau ketika ditemui pada acara istimewa Hey Hey HoHo Bersama Finalis ABPBH 37 bersama peminat di sini, baru-baru ini.

Anna berkata, mungkin wajahnya yang sesuai dengan genre cerita begini, membuatkan dia menjadi pilihan.

“Saya pun minat tonton cerita hantu daripada kecil. Jadi, setiap kali dapat ‘offer’ untuk buat filem seram atau apa saja, saya sangat teruja.

“Saya tak takut langsung sebab saya suka tonton ‘behind the scenes’. Sebab, kan bila kita tonton cerita hantu kita macam takut, kita macam tak nak tengok.

“Tapi, bila kita dah berlakon dan kita dah tonton ‘behind the scenes’ macam mana mereka buat, kita dah faham dah. Kita tak takut sebenarnya sebab depan kita ada macam 50 kru produksi,” katanya.

Anna berkata, antara ketiga-tiga filem ini, Lembayung adalah filem yang mencabarnya dari segi fizikal.

“Tapi, dari segi nak berlakon itu banyak dialog, yang ini sebab saya watak utama kat dalam cerita ini. Saya tak pernah ada gangguan buat cerita ini.

“Tapi, masa buat Lembayung pernah ada gangguan sikit-sikit. Tapi, saya jenis macam buat bodoh saja. Biasalah ‘benda’ itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top