Selepas 11 hari hilang, Asmadi akhirnya ditemui meninggal dunia

Selepas 11 hari hilang, Asmadi akhirnya ditemui meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Sik: Selepas 11 hari dilaporkan hilang ketika mencari rumput untuk kambing, Asmadi Ibrahim, 58, ditemukan meninggal dunia dalam kawasan kebun getah di Felda Teloi Timur, di sini tengah hari tadi.

Asmadi ditemui meninggal dunia berhampiran motosikalnya oleh penduduk kampung.

Anaknya, Nurul Atirah Nadira, 23, berkata, keluarga terkejut sebaik dimaklumkan berita penemuan itu namun bersyukur kerana jasad bapanya akhirnya ditemui.

Katanya, sepanjang tempoh 11 hari kehilangan bapanya, mereka sekeluarga gelisah malah sentiasa menantikan perkhabaran terkini.

“Namun hari ini, ayah akhirnya ditemukan oleh penduduk kampung namun saya sedih kerana mereka beritahu ayah sudah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Nurul Atirah berkata, dia menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung tengah hari tadi memaklumkan penemuan bapanya.

“Ketika itu saya berada di rumah di Kuala Lumpur dan berita ini amat mengejutkan kami.

“Sebenarnya saya dan suami memang bercadang mahu pulang ke kampung, apabila mendapat berita ini kami terus bergegas pulang,” katanya.

Nurul Atirah berkata, kali terakhir dia bertemu bapanya ketika Hari Raya Aidil Adha lalu namun arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan yang mencurigakan.

Katanya, ketika itu arwah bapanya itu kelihatan sangat gembira melayan cucu

“Ada juga penduduk kampung jumpa ayah pada 5 Jun lalu ketika dia pergi solat Jumaat di masjid tetapi tiada apa-apa perubahan yang nampak padanya.

“Namun, selepas kehilangan ayah, polis yang datang ke rumah melakukan pemeriksaan di dalam biliknya mendapati biliknya dalam keadaan teratur dan kemas serta bersih berbanding sebelum ini yang agak tidak terurus sebelum ini kerana ayah tinggal dengan datuk (Taharin Abdullah, 80,) selepas kematian ibu, ” katanya.

Nurul Atirah yang juga anak tunggal berkata, bapanya tidak mempunyai sebarang penyakit dan dia kelihatan sihat.

“Saya sedih kerana ayah pergi tanpa kami di sisinya namun reda dengan ketentuan Allah. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Timur selepas segala urusan selesai,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya mencari rumput untuk kambing peliharaannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top