am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kira-kira 1,000 rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, Thailand akibat banjir buruk semalam, dijangka dapat pulang hari ini.
Ketua Persatuan Halal Trade dan Tourism Thailand dan Asia, Aida Oujeh berkata, ia susulan paras banjir di bandar itu yang semakin surut, membolehkan pergerakan pelancong dengan selamat.
“Ada sebahagian rakyat Malaysia sudah bergerak ke sempadan negara di Sadao untuk pulang ke Malaysia menerusi Bukit Kayu Hitam. Mereka bergerak dari pagi dan dijangka kesemua rakyat Malaysia dapat pulang hari ini.
“Pihak kami akan membantu rakyat Malaysia yang memerlukan termasuk menyediakan bekalan makanan yang mencukupi untuk mereka yang terkandas di hotel.
“Kerajaan Thailand menyediakan 200,000 kotak makanan dan 50,000 kotak diperuntukkan untuk pelancong Malaysia yang terkandas. Bekalan makanan ini disediakan untuk keperluan makan bagi tiga kali sehari,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mewakili kerajaan dan rakyat Thailand, dia meminta maaf dengan kejadian banjir berkenaan yang menyebabkan ramai pelancong Malaysia terkandas.
“Banjir dalam bandar Hatyai tidak dijangka berlaku, namun ia adalah kejadian dalam tempoh 12 tahun sekali.
“Sudah tiga kali banjir seumpama ini berlaku di bandar Hatyai,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, kira-kira 1,000 rakyat Malaysia terkandas apabila banjir melanda Hatyai semalam sehingga ada yang terputus bekalan makanan kerana semua premis termasuk kedai makan ditutup.
Pihak berkuasa Thailand mengerahkan trak tentera digunakan bagi memberi bantuan untuk membawa mereka keluar ke sempadan Malaysia di Sadao.
© New Straits Times Press (M) Bhd




