Banjir: Bekalan keperluan asas cukup – Fuziah

Banjir: Bekalan keperluan asas cukup – Fuziah

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekalan keperluan asas di semua negeri yang terjejas banjir adalah mencukupi, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Senator Datuk Dr Fuziah Salleh.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya sudah memberi kebenaran kepada 2,102 syarikat pemborong, pengilang dan peruncit bagi menyimpan tambahan stok barang kawalan sehingga 30 peratus.

Katanya, setakat ini tiada negeri yang terjejas terputus bekalan barangan keperluan asas.

“Saya dimaklumkan kita sudah membuka bilik gerakan serta-merta di negeri yang terkesan.

“Jadi negeri yang terkesan itu ada bilik gerakan untuk kita tahu kalau ada terputus bekalan di mana-mana tempat.

“Contohnya kalau terputus barang asas seperti gula, minyak dan sebagainya, bilik gerakan akan pastikan bahawa barang keperluan itu sampai ke tempat yang terjejas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar serta Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Christina Tee.

Setakat pagi tadi, jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat kepada 10,460 orang, dengan lapan negeri terjejas.

Negeri lain yang terjejas adalah Terengganu, Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.

Menurut laporan terkini Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 8,235 orang yang kini ditempatkan di 33 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pihak berkuasa terus memantau keadaan cuaca dan paras air sungai di kawasan berisiko, selain menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti arahan keselamatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top