bhnews@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kumpulan sensasi, Dolla bertemu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Bangunan Parlimen Malaysia di sini, hari ini.
Dolla menerusi entri di Instagram (IG) mengabadikan foto kenangan bersama Fahmi dan klip video pendek yang dirakam pada pertemuan itu.
“Masa depan yang kelihatan mengujakan! Terima kasih Yang Berhormat Fahmi Fadzil dan pasukan,” tulis Dolla pada ruangan kapsyen entri itu.
Melalui perkongsian sama, kumpulan dibarisi tiga gadis, Sabronzo, Tabby dan Angel itu sempat menyampaikan cenderamata yang tertera nama ‘Dolla’ kepada Fahmi.
Sementara itu, Universal Music Malaysia selaku syarikat rakaman yang menaungi Dolla turut menzahirkan penghargaan buat Fahmi dan pasukan daripada Kementerian Komunikasi atas kesudian megadakan pertemuan bersama mereka.
“Suatu penghormatan besar dapat duduk bersama Menteri Komunikasi petang ini.
“Terima kasih atas perbincangan dan kesudian mendengar visi kami.
“Perkara menarik sedang menanti industri dan kami tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripadanya!,” tulisnya menerusi hantaran di IG.
Pertemuan itu turut dihadiri Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim.
Bagaimanapun, tujuan pertemuan dan inti pati perbincangan belum dimaklumkan semua pihak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




