Bapa Dayah Bakar meninggal dunia

Bapa Dayah Bakar meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengacara dan penyampai radio, Dayah Bakar berkongsi berita duka di Instagram Storynya memaklumkan bapanya meninggal dunia, awal pagi tadi.

Menerusi hantaran ‘repost’, Allahyarham Datuk Abu Bakar Johar menghembuskan nafas terakhir pada 12.59 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Ayah saya telah kembali ke rahmatullah pada jam 12.59 tengah malam hari ini. Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un.

“Kami terima dengan hati yang amat berat. Mohon doakan untuknya.

“Semoga Allah mengurniakan rahmat, permudahkan perjalanannya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh.

“Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan bapa saya sejak beberapa hari yang lalu,” tulisnya pada kapsyen di Instagram Story yang di ‘repost’nya.

Sementara itu, menerusi hantaran ‘repost’ yang lain di Instagram Storynya, dia turut memaklumkan mengenai pengurusan jenazah bapanya.

Menerusi hantaran itu, jenazah Allahyarham akan dimandikan dan disolatkan di Surau Silaturahim SPPK, Segambut dijangka antara jam 10 pagi hingga 11 pagi dan lokasi serta masa pengebumian akan dimaklumkan kemudian.

Menerusi hantaran ‘repost’ itu juga, Hidayah memohon orang ramai agar menyedekahkan al-Fatihah serta mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Dengan rendah hati, kami memohon agar semua dapat menyedekahkan Al-Fatihah dan mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin.

“Mohon juga jasa baik tuan atau puan untuk membantu menyebarkan makluman ini kepada kenalan yang mengenali arwah. Segala doa dan sokongan amat kami hargai. Terima kasih,” tulis kapsyen di Instagram Story yang di’repost’nya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top