redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kajang: Biarpun masih bergelar penuntut, pemuda ini enggan hidup selesa kerana sanggup melakukan empat pekerjaan bagi mencari duit poket demi kelangsungan hidup sebagai mahasiswa.
Berbekalkan kemahiran dimiliki, Muhammad Rozaidi Abdullah, 23, mengambil upah membaiki telefon bimbit, menjadi penunggang p-hailing dan pelakon tambahan selain menawarkan khidmat sebagai penghibur dengan memakai sut adiwira Spiderman untuk majlis keramaian.
Sebelum itu, Muhammad Rozaidi yang menetap di Kampung Darul Hidayah, Hulu Langat, Selangor juga menimba pengalaman bekerja sebagai pembantu di premis cuci kereta pengawal keselamatan dan pembantu jualan dekat sebuah pasar raya di Kampung asalnya dekat Tanjong Malim, Perak.
Menceritakan kisahnya, Muhammad Rozaidi berkata, pekerjaan dilakukan itu bukan hanya memberi pulangan pendapatan dan membantu melangsaikan yuran pengajian malah mengisi masa terluangnya.
Sebaliknya, dia menjadikan pekerjaan itu sebagai terapi bagi meredakan tekanan sekali gus melawan tiga masalah kesihatan mentalnya iaitu gangguan tekanan pasca trauma (PTSD), gangguan utama depresi (MDD) dan psikosis.
“Sebenarnya, saya adalah mangsa buli sejak di sekolah rendah lagi dan menjadi sasaran kerana karakter saya yang pendiam.
“Ia berterusan sehingga saya masuk ke sekolah menengah dan sering diejek tidak kurang juga yang melakukan buli fizikal seperti menarik tali leher.
“Apa yang berlaku menyebabkan saya tertekan hingga disahkan dengan PTSD ketika berumur 15 tahun namun ada yang tak percaya kerana menyangka saya pura-pura sakit dan itu yang saya kena hadap.
“Sampai sekarang pun saya berjuang dengan masalah kesihatan mental malah disahkan dengan MDD dan psikosis lima tahun lalu dan kini masih ada temujanji dengan doktor di Hospital Ampang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Prima Saujana, dekat sini.
Di sebalik ujian itu, Muhammad Rozaidi bersyukur kerana masih boleh menjalani kehidupan normal malah kini menuntut di semester tiga peringkat sijil dalam jurusan Sijil Teknologi Peranti Mudah Alih di Kolej Komuniti Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Menurut Muhammad Rozaidi, dia juga tiada masalah dalam pelajaran kerana mendapat keputusan cemerlang dalam dua semester terdahulu.
“Alhamdulillah, saya dapat anugerah dekan ketika di semester satu dan anugerah pelajar cemerlang untuk semester dua.
“Walaupun masih buat kerja sambilan, pelajaran tetap keutamaan saya cuma puas kerana bila bekerja misalnya hiburkan orang dengan pakai maskot (sut Spiderman) baik kanak-kanak mahupun dewasa.
“Ada yang perlekehkan malah sejak awal sampai sekarang pun ada tapi saya teruskan juga kerana itu yang dapat kurangkan tekanan.
“Kerja baiki telefon bimbit pun seronok terutama bila dapat maklum balas positif daripada pelanggan dan perancangan saya adalah buka kedai sendiri selepas tamat pengajian nanti kerana sekarang pun sudah tubuhkan syarikat sendiri yang bernama MRZ VISION ENTERPRISE yang berdaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia),” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




