georgie@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Ibu penyanyi Shila Amzah, Fauziah Sarman, 57, terkejut apabila dilamar suaminya Brigadier Jeneral Zainal Abidin Muhammad Salleh, 55, selepas perkenalan singkat mereka selama sebulan saja.
Fauziah atau Mama Zie mengakui tidak mencari teman hidup baharu, namun pelakon Serina Redzuwan yang bertanggungjawab mengatur beberapa pertemuan buat mereka sebelum membawa ke jenjang pelamin.
“Adalah orang macam jodoh-jodohkan, buat perjumpaan sebelum ini. Tapi entahlah masa itu memang tak naklah, tapi dengan dia berbeza sikitlah. Jumpa, rasa nak jumpa lagi, jumpa lagi.
“Tapi Serina pun pandai, dia buat perjumpaan itu bukan sekali. Dia kenakan kita dua tiga kali untuk berjumpa, jadi kita pun tak boleh nak tolak, macam kita sendiri pun tak percaya.
“Sebab macam tiba-tiba sebulan kena ajak kahwin. Sepatutnya lebih awal, lepas itu ada masalah, jadi tunda sampailah 22 November lalu,” katanya ketika ditemui pada pelancaran album baharu Shila Amzah, SA25, di sini, hari ini.
Fauziah tidak menafikan kini bahagia apabila kembali bergelar isteri dan paling menggembirakannya adalah bila anak-anaknya tumpang seronok melihatnya kembali berseri mendirikan rumah tangga.
“Gembiralah sebenarnya saya sudah ada penemankan. Sebelum ini dua tahun lebih juga ‘single’. Sekarang dah seronoklah ada orang untuk teman bercakap, anak-anak pun semua okay.
“Walaupun mereka tak jumpa dia (suami) sebelum ini, anak-anak saya kata, nampak mak ‘happy’ pun mereka sudah rasa ‘happy’. Maknanya dia orang yang baiklah sebab berjaya buat saya ‘happy’ mereka (anak-anak) kata,” katanya.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, pertemuan dan jodoh dengan Fauziah adalah takdir yang sangat indah, tambah pula anak-anaknya juga menerima isterinya itu dengan baik.
“Allah yang takdirkan semua sebab berjalan dengan lancar. Sebab saya dah ‘single’ lapan tahun . Dalam tempoh itu, masa habis membesarkan anak, jaga anak. Bila saya nak terima Fauziah, saya pun bawa anak jumpa.
“Tengok anak serasi dan bila anak boleh setuju, adik-beradik saya, keluarga juga suka pada Fauziah,” katanya.
Terdahulu, Fauziah dan Zainal Abidin selamat dinikahkan pada Sabtu lalu. Berita gembira itu dikongsikan pereka fesyen Seth dan Luth menerusi hantaran video dimuat naik di Instagram (IG) mereka.
Fauziah sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan ND Lala pada 1989 dan sepanjang 34 tahun hidup bersama, mereka dikurniakan empat anak iaitu Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir serta Nur Syuhada.
© New Straits Times Press (M) Bhd




