Tebing Barat berdepan krisis kemanusiaan paling buruk

Tebing Barat berdepan krisis kemanusiaan paling buruk

New York: Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) menyatakan Tebing Barat kini sedang berdepan krisis kemanusiaan paling buruk sejak beberapa dekad lalu, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

UNRWA memberi amaran berhubung situasi yang semakin meruncing ini ekoran tindakan tentera penceroboh Israel yang terus menyerbu bandar-bandar Palestin, memusnahkan kediaman serta melancarkan kempen penangkapan, selain peningkatan serangan pendatang haram Yahudi yang mendapat sokongan tentera.

“Ia adalah krisis kemanusiaan paling dahsyat di Tebing Barat sejak beberapa dekad lalu. Lebih 12,000 kanak-kanak masih dipindahkan secara paksa manakala 47 lagi terbunuh pada tahun ini,” menurut kenyataan agensi itu di platform X.

Pada Isnin, agensi PBB itu turut mengumumkan situasi kemanusiaan di Semenanjung Gaza kekal kritikal biarpun wujud gencatan senjata. Israel didakwa menghalang kemasukan kakitangan antarabangsa agensi itu dan menyekat penghantaran bantuan sehingga menyebabkan kira-kira 6,000 lori makanan terkandas di pintu sempadan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top